Hasrat seorang wanita warga Filipina untuk bertemu dengan teman laman sosial di internet di negara ini akhirnya mengundang padah apabila dia dikurung dan dijadikan tebusan oleh empat lelaki warga Afrika.
Kejadian pada 12 Disember lepas berlaku ketika wanita berumur 44 tahun itu yang bekerja di Jepun sanggup datang ke negara ini untuk bertemu dengan salah seorang suspek, namun mangsa dikatakan dibawa ke sebuah unit kondominium Mentari Court, Petaling Jaya untuk dijadikan tebusan.
Ketua Polis Selangor Datuk Khalid Abu Bakar berkata kesemua suspek dan rakan mereka yang terdiri daripada seorang wanita warga Afrika dan dua wanita serta seorang lelaki tempatan ditahan dalam dua serbuan berasingan iaitu di kondominum terbabit serta di sebuah rumah di Taiping, Perak pada 17 Disember lepas.
"Suspek menghubungi kakak mangsa di Jepun dan meminta wang tebusan sebanyak tiga juta Yen, namun kakak mangsa enggan memberikan wang tersebut," katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Pondok Polis di Puchong Perdana, Selangor.
Akibat gagal mendapatkan wang tebusan itu, mangsa dibebaskan di tepi jalan berhampiran Bandar Sunway dengan kesan kecederaan di badan dipercayai akibat dipukul.
Khalid berkata hasil serbuan ke kondominium itu, polis turut menemui barang-barang seperti komputer riba, beg pakaian dan dokumen pengenalan diri yang kesemuanya milik mangsa.
Katanya, kesemua suspek yang berumur antara 21 dan 35 tahun itu aktif menjalankan kegiatan mengumpan wanita di laman sosial di internet sejak tiga bulan lepas.
"Ada antara warga asing ini mempunyai visa pelajar, manakala beberapa lagi tidak mempunyai sebarang dokumen perjalanan yang sah," tambah Khalid. BERNAMA
