Pemuda MIC Selangor hari ini mengesyorkan supaya bantuan saraan bulanan berjumlah RM350 bagi orang kurang upaya (OKU) di negeri itu dan Wilayah Persekutuan dinaikkan kepada RM500.
"Ini kerana kadar RM350 sebulan tidak cukup untuk menampung sara hidup mereka yang menetap di Selangor dan Wilayah Persekutuan," kata ketua Pemudanya Shanker Raj Ayenger.
Bercakap kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat Selangor, Adnan Abu Bakar, di Shah Alam hari ini, kesemua 22 bahagian Pemuda MIC di negeri itu akan digerakkan mulai Januari untuk bersama-sama JKM dan Unit Penyelarasan dan Pelaksanaan di Jabatan Perdana Menteri membantu golongan sasaran daripada kalangan masyarakat India di Selangor.
"Andaian bahawa mereka yang memiliki televisyen dan Astro tidak layak mendapat bantuan perlu diteliti, kerana ada antara pemohon bantuan mereka yang mempunyai perkhidmatan Astro itu dibiayai oleh anak-anak mereka tetapi pendapatan isi rumah mereka masih di bawah garis kemiskinan RM720 yang ditetapkan oleh JKM," kata Shanker.
Beliau berkata MIC akan turun ke peringkat akar umbi di seluruh Selangor bagi memastikan tiada golongan miskin yang tercicir daripada mendapat bantuan JKM. BERNAMA
