Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim memberi jaminan bahawa Ketua Pengarah Penyiaran Datuk Ibrahim Yahya tidak akan bersendirian dalam menghadapi sebarang tindakan daripada kerajaan Pulau Pinang.
Beliau berkata kementerian akan menggunakan pengalaman dan semua justifikasi penyiaran dalam mempertahankan apa-apa yang berkaitan dengan badan penyiaran itu.
Rais berkata beliau sendiri akan meneliti terlebih dahulu butir-butir dan huraian hujah sekiranya saman dikenakan terhadap pegawai kanan kementerian.
"Kami tidak akan biarkan beliau seorang diri. Saya percaya gerakan yang berbentuk saman itu digunakan bukan untuk mendapatkan apa-apa perolehan atau ganjaran selain daripada untuk menjuarai sistem politik negeri Pulau Pinang di bawah pimpinan ketua menterinya.
"Beliau (Lim Guan Eng) sebenarnya sudah tersepit lantaran tiada isu lain yang hendak dibangkitkan," katanya kepada pemberita di majlis pelancaran Dana Industri Kreatif di ibunegara hari ini.
Rais berkata berdasarkan sistem kerajaan, apabila menteri, ketua setiausaha, ketua pengarah atau anggota pentadbiran disaman atas jawatannya, kerajaan akan berusaha memberi nasihat dan bimbingan sewajarnya terutama dalam bidang perundangan.
Bagaimanapun, Rais berkata sekiranya pegawai-pegawai terlibat disaman atas kesalahan di luar jawatan, kerajaan tidak akan bertanggungjawab.
"Misalnya, kalau beliau disaman dalam hal khalwat itu, barangkali kami tidak boleh campur tangan...," katanya.
Selasa lepas, kerajaan Pulau Pinang membuat laporan terhadap Ibrahim kerana didakwa menerbitkan satu artikel berunsur fitnah dalam laman blognya baru-baru ini, http://duniatiger.blogspot.com bertajuk 'Ada Orang Nak Penjarakan Saya'.
Setiausaha politik Ketua Menteri Ng Wei Aik dipetik sebagai berkata bahawa beliau diarahkan oleh Ketua Menteri Lim Guan Eng untuk membuat laporan polis merujuk kepada artikel berkenaan. - Bernama
