Tengku Temenggong Kelantan Tengku Muhammad Fakhry Petra masih belum boleh mengetahui sama ada beliau akan dibenarkan mencabar keputusan Tengku Mahkota Kelantan yang mengeluarkan beliau daripada senarai pemerintah Kelantan yang seterusnya.
Ini kerana Mahkamah Tinggi perlu terlebih dahulu memutuskan isu mengenai kelewatan 42 hari dalam memfailkan permohonan untuk semakan kehakiman, seperti yang dibangkitkan oleh Tengku Mahkota Kelantan Tengku Muhammad Faris Petra, di mahkamah hari ini, lapor Bernama.
Peguam Datuk Cecil Abraham, yang mewakili Tengku Muhammad Faris, memberitahu mahkamah bahawa permohonan untuk semakan kehakiman itu hanya difailkan oleh Tengku Muhammad Fakhry, 82 hari selepas beliau dikeluarkan daripada Majlis Perajaan Negeri Kelantan pada 16 September lepas.
Beliau berhujah bahawa permohonan untuk semakan kehakiman mesti difailkan dalam tempoh 40 hari dari tarikh alasan untuk permohonan itu dibangkitkan, seperti yang diperuntukkan mengikut Perintah 53 Peraturan-peraturan Mahkamah Tinggi 1980.
Katanya perlanjutan masa adalah isu perundangan, oleh itu mahkamah perlu mendengar penghujahan atas asas inter-parte (kedua-dua pihak) sebelum membuat apa-apa keputusan.
Peguam K.Shammuga, yang mewakili Tengku Muhammad Fakhry, pula berhujah bahawa permohonan untuk semakan kehakiman difailkan sebaik sahaja selepas Tengku Muhammad Fakhry menerima surat dari Setiausaha Majlis Perajaan Negeri pada 26 Oktober tahun ini.
Surat itu merupakan jawapan kepada surat Tengku Muhammad Fakhry bertarikh 25 Oktober, yang meminta alasan terhadap penyingkirannya tetapi tiada alasan yang diberikan kepada beliau oleh Setiausaha berkenaan.
Katanya, permohonan untuk semakan kehakiman difailkan pada 7 Disember, iaitu terlewat dua hari dari tempoh 40 hari yang diperuntukkan oleh Peraturan-peraturan Mahkamah Tinggi.
Shanmuga berkata mahkamah mempunyai budi bicara untuk memutuskan mengenai isu perlanjutan masa atas asas ex-parte (sebelah pihak) memandangkan tiada kuasa mengikat yang mengatakan bahawa mahkamah perlu sentiasa mendengar perkara itu secara inter-parte.
"Ini merupakan satu isu yang penting dan mahkamah perlu membuat keputusan," kata Hakim Mohamad Ariff Md Yusof yang kemudian menetapkan 12 Januari untuk menyampaikan keputusan.
Pada 7 Disember, Tengku Muhammad Fakhry, 31, memfailkan permohonan untuk semakan kehakiman bagi membatalkan keputusan Tengku Muhammad Faris yang membatalkan pelantikan beliau sebagai anggota Majlis Perajaan Negeri Kelantan.
Dalam permohonan itu, Tengku Muhammad Fakhry turut memohon perintah daripada mahkamah supaya Tengku Muhammad Faris mengembalikan semula keanggotaan beliau dalam majlis berkenaan, dan perintah certiorari bagi membatalkan pelantikan lima lagi anggota majlis itu.
Tengku Muhammad Fakhry, putera ketiga Sultan Kelantan Tuanku Ismail Petra, menamakan Tengku Mahkota, Setiausaha Majlis Perajaan Negeri dan kerajaan Kelantan sebagai responden.
Lima lagi responden ialah Datuk Hashim Yusoff, Datuk Tengku Salwah Sultan Yahya Petra, Datuk Sukri Mohamed, Datuk Che Mohd Rahim Jusoh dan Kol Dr Mohammad Razin Kamarulzaman.
Abraham turut mewakili responden yang lain manakala kerajaan Kelantan diwakili oleh Penasihat Undang-Undang Negeri Azlan Abdul Halim.
