Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
PKPIM sokong KDN kemuka rayuan
Diterbitkan:  Jan 2, 2010 10:00 PM
Dikemaskini: 3:52 PM

Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) menyokong Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengemuka rayuan secepat mungkin untuk menyemak keputusan Mahkamah Tinggi yang membenarkan penggunaan kalimah Allah oleh akhbar mingguan Herald-The Catolic Weekly dalam cetakan bahasa Melayunya.

"PKPIM juga melahirkan sokongan penuh kepada usaha pihak Kementerian selama ini yang bertegas untuk terus tidak membenarkan tuntutan yang disalurkan mereka kepada pihak berkuasa," kata Presidenya, Muhammad Faisal Abdul Aziz.

"PKPIM ingin menegaskan bahawa dalam konteks masyarakat Malaysia dan alam Melayu, kalimah Allah adalah bersifat eksklusif yang hanya merujuk kepada konsep tuhan yang difahami oleh umat Islam sahaja," katanya dalam satu kenyataan.

PKPIM juga, katanya mengalu-alukan keputusan kabinet yang bertarikh 16 Mei 1986 yang melarang mana-mana agama selain Islam untuk menggunakan empat perkataan iaitu Allah, Solat, Baitullah dan Kaabah.

"PKPIM berpandangan keputusan tersebut adalah tepat, tuntas, dan seharusnya dihormati dan dipertahankan," tambahnya.

Dalam situasi semasa, katanya, PKPIM melihat penggunaan kalimah Allah dalam Herald akan menimbulkan banyak kekeliruan dalam kalangan umat Islam yang akhirnya akan membawa kepada gejala murtad.

"Dalam perkembangan berkaitan, PKPIM menyeru agar seluruh pertubuhan Islam dan agensi kerajaan yang berkaitan untuk terus menggandakan usaha bagi menggerakkan aktiviti dakwah dan ta’dib bagi memastikan kefahaman umat Islam dapat dipertingkatkan," katanya.

Sementara itu, Bernama melaporkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) Mej Jen (B) Datuk Jamil Khir Baharom berkata, JPM akan bekerjasama dengan Kementerian Dalam Negeri untuk merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi itu.

Beliau juga meminta semua pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan umat Islam di negara ini supaya bertenang dan menghormati keputusan mahkamah serta memberi peluang perkara itu diselesaikan melalui proses perundangan.

Sehubungan itu, katanya, beliau akan mengambil langkah untuk mengadakan pertemuan dengan pihak NGO dalam masa terdekat bagi mendengar pandangan mereka dan membincangkan perkara ini selanjutnya, " katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pada 16 Februari lepas, Ketua Paderi Roman Katolik Kuala Lumpur Tan Sri Murphy Pakiam, sebagai penerbit majalah itu, memfailkan permohonan untuk semakan kehakiman bagi menuntut satu deklarasi bahawa keputusan Menteri Dalam Negeri melarang beliau menggunakan perkataan "Allah" dalam majalah itu adalah haram dan perkataan itu bukan eksklusif bagi agama Islam.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS