Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Tragedi Gemencheh: Suspek direman seminggu
Diterbitkan:  Jan 7, 2010 8:49 AM
Dikemaskini: 9:50 AM

kemaskini 5.50pm Polis hari ini mendapatkan perintah tahanan reman selama seminggu ke atas seorang suspek berusia 34 tahun bagi membantu siasatan kes bunuh empat beranak di Kampung Batang Rokan, Gemencheh, Tampin, Selasa lepas.

Perintah tahanan reman tersebut dibuat di Mahkamah Majistret Gemas di hadapan Majistret Siti Norsafida Hashim.

Majistret membenarkan tahanan ke atas Rashidi sehingga 13 Januari.

Rashidi, 34, direman mengikut Seksyen 117 Kanun Acara Jenayah bagi membolehkan siasatan dijalankan menurut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Permohonan untuk mendapatkan perintah tahanan reman itu dibuat oleh ketua bahagian siasatan jenayah ibu pejabat polis daerah Tampin ASP Khairil Anuar Saidin.

Sejurus selepas itu, sepasukan polis kemudian membawa suspek terbabit ke tempat kejadian untuk mencari bahan bukti (sebilah pisau) yang dipercayai digunakan dalam kejadian tersebut.

Suspek itu ditahan di stesen LRT Masjid Jamek, Kuala Lumpur kira-kira 4 petang semalam.

Dia, yang juga anggota keluarga mangsa, ditahan ketika cuba menyerang seorang anggota polis bantuan yang menghampirinya di stesen itu.

Dalam kejadian kira-kira 3.30 petang itu, mangsa Atan Daud, 90, yang merupakan bekas imam masjid kampung berkenaan, isterinya Sutiah Katas, 80, menantu pasangan itu Ismail Awang, 76, dan cucu mereka Siti Khadijah Ismail, 22, dibunuh dengan kejam.

Mayat mereka ditemui berlumuran darah di dua buah rumah yang terletak bersebelahan.

- Bernama

ADS