Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Majlis Perundingan Bagi Agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Tao Malaysia (MCCBCHST) menyeru ahli-ahli politik supaya membantu usaha menyedarkan rakyat mengenai kepentingan menghormati fahaman agama anggota masyarakat.

Presidennya Dr Thomas Philips berkata, ini boleh dilakukan sekiranya ahli politik mengeluarkan kenyataan yang betul kepada masyarakat, seperti kenyataan oleh presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan pemimpin-pemimpin PKR.

Abdul Hadi pada Sabtu mengeluarkan kenyataan mengutuk sekeras-kerasnya perbuatan pihak tidak bertanggungjawab menyerang tiga buah gereja dengan bom api di Lembah Klang pada Jumaat.

Umat Islam dilarang memusnahkan tempat ibadat dalam situasi perang, "apatah lagi ketika kita hidup dalam aman," kata ahli parlimen Marang.

Dr Philips menjelaskan, kenyataan seperti itu perlu disebarkan kepada masyarakat berikutan kejadian insiden serangan ke atas gereja Kristian yang berlaku sejak Jumaat.

"(Insiden serangan) berlaku kerana kurangnya perasaan hormat di antara para penganut agama di negara ini," katanya lagi ketika dihubungi Malaysiakini semalam.

"Dalam keadaan biasa, kita tidak ada masalah antara satu sama lain tetapi dalam setiap masyarakat pasti ada orang-orang yang ekstrem. Mereka tidak boleh dibiarkan menjadi suara majoriti," katanya.

"Kita sepatutnya bekerjasama untuk membina persefahaman antara satu sama lain," tambahnya.

"Kita berasa khuatir (dengan insiden yang berlaku), tetapi melihat dari sudut positif, saya gembira kerana penganut Kristian tidak melawan semula dan berjaya mengawal perasaan mereka."

Katanya lagi, beliau juga gembira kerana lebih ramai pemimpin Islam yang tampil mengutuk serangan yang dilakukan oleh individu yang sedang dikesan oleh polis itu.

"Kita juga terharu kerana kumpulan Islam turut memberi sumbangan untuk gereja yang terbakar," jelasnya, merujuk kepada sumbangan dan bantuan yang dihulurkan oleh pertubuhan Islam kepada gereja-gereja terlibat.

Ditanya lagi mengenai pendekatan yang boleh diambil bagi meningkatkan rasa hormat di antara penganut agama, Dr Philips berkata saluran pendidikan formal harus digunakan bagi menyampaikan maksud tersebut.

"Pada masa saya dulu ada mata pelajaran untuk memahami agama masing-masing, sekarang (mata pelajaran) itu sudah tidak ada lagi.

"Jadi bagaimana untuk kita rasa hormat antara satu sama lain?" katanya.

ADS