Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Graduan guru tiada kerja, IPTA dipersalah
Diterbitkan:  Jan 15, 2010 8:39 AM
Dikemaskini: 12:51 AM

Institut pengajian tinggi awam (IPTA) tidak sewajarnya menawarkan program Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (Sekolah Rendah),

memandangkan ia telah ditawarkan oleh Institusi Pendidikan Guru (IPG), kata Timbalan Menteri Pelajaran Dr Mohd Puad Zarkashi.

Beliau berkata, penawaran program berkenaan di IPTA menjadi salah satu punca masih ada guru lepasan ijazah yang menganggur tidak mempunyai tempat di sekolah-sekolah rendah.

"Graduan program berkenaan dari IPTA tak boleh mengajar di sekolah rendah sebab kita sudah ada lulusan dari IPG. Graduan IPTA sepatutnya mengajar di sekolah menengah, tapi bila ambil opsyen ini susah nak dapat tempat di sekolah rendah" katanya kepada pemberita selepas majlis perjumpaan dengan warga pendidik daerah Kubang Pasu, di SMK Megat Dewa, dekat Jitra semalam.

Bagi mengatasi masalah berkenaan, katanya, penyelarasan perlu ada antara kementerian pelajaran Malaysia (KPM) dan IPTA bagi memastikan kursus atau program yang ditawarkan benar-benar mengikut unjuran yang telah ditetapkan.

Mohd Puad berkata, lulusan IPG tidak mempunyai masalah penempatan kerana mereka telah dilatih untuk ditempatkan di sekolah-sekolah rendah, sebaliknya masalah hanya timbul apabila membabitkan guru lepasan IPTA.

Katanya, sebagai kementerian yang bertanggungjawab, pihaknya akan cuba menyelesaikan masalah penempatan berkenaan demi masa depan graduan terbabit.

"Saya menerima satu senarai yang mengandungi nama 20 graduan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang memilih program berkenaan, Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (Sekolah Rendah]) dan ada di antara mereka masih menganggur walaupun sudah hampir setahun tamat belajar," katanya.

Sementara itu, mengenai isu pendaftaran sekolah bagi anak-anak warganegara asing, Mohd Puad berkata masih ramai ibu bapa tidak memahami serta keliru dengan peraturan yang telah ditetapkan KPM.

Beliau menjelaskan, bagi warganegara Myanmar atau Rohingya yang mempunyai permit pekerjaan di negara ini, mereka boleh mendaftarkan anak mereka di sekolah kerajaan, tetapi mesti berpendapatan melebihi RM3,500 serta mempunyai dokumen yang sah dan dikenakan yuran sebanyak RM120 bagi sekolah rendah, manakala RM240 untuk sekolah menengah.

Katanya, bagi pelarian atau pemegang kad Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu Untuk Pelarian (UNCHR) pula, mereka tidak boleh mendaftarkan anak mereka di sekolah kerajaan, manakala bagi rakyat asing yang berkahwin dengan warganegara ini, dokumen pengesahan daripada ketua kampung atau penghulu sudah mencukupi, tetapi masih perlu membayar jumlah yuran yang sama.

- Bernama

ADS