Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Parti Sosialis Malaysia (PSM) mendesak kerajaan menyediakan skim pinjaman mudah untuk golongan berpendapatan rendah bagi mengelakkan mereka ditindas oleh ceti haram.

NONE Desakan tersebut disuarakan melalui satu memorandum yang dihantar ke pejabat perdana menteri Datuk Seri Najib Razak hari ini.

Setiausaha agung PSM, S Arutchelvam berkata golongan berpendapatan rendah tidak mendapat banyak manfaat daripada skim pinjaman mikro sedia ada melalui bank.

"Secara umumnya, kita desak supaya kerajaan mengambil alih peranan yang dimainkan oleh along dan ceti haram," katanya menjelaskan kandungan memorandum yang diterima oleh wakil khas perdana menteri, Ravin Ponniah.

Katanya, golongan berkenaan masih dibeban dengan bayaran faedah tinggi yang ditetapkan sekiranya membuat pinjaman melalui bank.

NONE "Contohnya jika seseorang pinjam RM20,000, jika ada tunggakan dia kena bayar hingga RM5,000. Orang berpendapatan rendah tidak akan mampu bayar jumlah itu," katanya ketika dihubungi petang ini.

"Kemudian, jika dia tidak mampu bayar satu pinjaman di sebuah bank, dia tidak boleh lagi pinjam di bank lain kerana sudah disenarai hitamkan," katanya lagi.

Tambahnya, bank juga menetapkan banyak syarat sebelum sesuatu permohonan pinjaman itu diluluskan.

Jelasnya, bentuk pinjaman seperti itu akan dapat membantu golongan yang diberhentikan kerja sementara mendapatkan pekerjaan lain.

"Menurut anggaran kita, kira-kira 50 peratus golongan pekerja berpendapatan rendah tidak mampu membayar pinjaman yang dibuat. Yang selebihnya cuma mampu bayar bunga sahaja.

NONE "Sepatutnya, kerajaan boleh buat skim untuk rakyat seperti skim pinjaman perumahan yang diberikan kepada penjawat awam yang hanya tetapkan kadar pinjaman sebanyak 4 peratus," katanya.

Jelasnya, skim pinjaman mudah seperti itu akan membolehkan peminjam menanggung bunga sebanyak RM13.33 sahaja bagi pinjaman berjumlah RM4,000.

Katanya lagi, pinjaman tersebut boleh disalurkan melalui agensi-agensi kerajaan seperti Bank Simpanan Nasional ataupun Pos Malaysia Berhad.

"Sebab kita tengok polis pun tidak dapat kawal along ini. Di mana-mana pun mereka boleh lekatkan iklan mereka," katanya lagi dan menambah, langkah itu akan membolehkan masyarakat kembali mendampingi kerajaan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS