Most Read
Most Commented
Read more like this

Ketua Pemuda Parti Keadilan Nasional, Mohamad Ezam Mohd Nor hari ini menyokong saranan polis untuk menghentikan buat sementara waktu perhimpunan termasuk ceramah politik di negeri Selangor berikutan insiden pergaduhan dua kumpulan di Jalan Kelang Lama, Petaling Selatan, minggu lalu.

Beliau berkata prinsip parti pembangkang tidak memberi ruang kepada unsur keganasan dan kejadian di Kampung Medan harus dipandang serius.

"Komitmen ini menunjukkan kita tahu membezakan keamanan dan tidak menyokong pihak-pihak yang terlibat," jelas Ezam apabila ditanya malaysiakini berhubung langkah pihak polis membendung insiden itu.

Berita Harian semalam melaporkan Ketua Polis Selangor, Datuk Nik Ismail Nik Yusoff berkata, "Buat masa ini, kami tidak akan benarkan (ceramah ) atau perhimpunan orang ramai. Tidak ada pilihan raya, jadi mengapa perlu mengadakan ceramah?"

Kejadian pergaduhan yang bermula Khamis lalu mengorbankan enam orang, manakala lebih 40 orang cedera. Sehingga hari ini, 190 orang ditahan polis.

Ezam berharap apabila insiden ini selesai, negeri itu akan membenarkan perhimpunan aman dan ceramah diadakan seperti biasa, sambil membantah kesukaran mendapatkan permit ceramah di Kuala Lumpur.

"Di Kuala Lumpur ceramah umum tidak dibenarkan langsung. Apakah Kuala Lumpur juga berada dalam keadaan genting?" ulas beliau.

'Layanan profesional'

Pemimpin pembangkang yang dibebaskan dengan ikat jamin RM5,000 atas tuduhan menghasut semalam menjelaskan beliau akan sedia bekerjasama dengan pihak polis.

Beliau didakwa di Mahkamah Sesyen mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan 1948 berhubung kenyataan beliau kononnya hendak menggulingkan kerajaan, yang dilaporkan oleh Mingguan Malaysia 4 Mac lalu. [#1] Ezam dituduh menghasut untuk mengguling kerajaan [/#], 14 Mac].

Ezam turut mengucapkan terima kasih atas "layanan profesional" pihak polis semasa ditahan reman minggu lalu serta menafikan beliau dikasari ketika ditangkap di depan kediaman presiden Keadilan, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

ADS