Datuk Seri Anwar Ibrahim menyerah kepada pihak polis untuk menyiasat aduan Mohd Saiful Bukhari Azlan berhubung dakwaan ancaman bunuh terhadapnya di laman peminat facebook ketua pembangkang itu.
Menurutnya, polis juga sepatutnya menyiasat siapakah individu yang bertanggungjawab menghantar komen tersebut.
Mohd Saiful membuat laporan polis semalam atas dakwaan menerima ancaman bunuh melalui laman peminat Anwar di facebook.
Menurut Anwar, penulis komen tersebut bagaimanapun memadamkan komen berkenaan tidak lama selepas meninggalkan komen tersebut di laman peminat facebook ketua pembangkang itu.
Mengulas laporan polis berkenaan, Anwar berkata: "Sepatutnya check siapa yang emel (kepada Mohd Saiful).
"Terserah kepada siasatan. Yang saya sebut ini kerana saya minta pegawai semak dan memang betul. Masuk sekejap, bagi komen kemudian hilang," katanya dalam sidang media di perkarangan kompleks mahkamah Jalan Duta selepas menghadiri perbicaraan kes liwatnya hari ini.
"Tak tahulah apa permainan ini atau nak cari perhatian atau apa tak tahulah, tapi aneh kerana peminat saya ini ramai dan (biasanya) kekal," katanya, mengulas mengenai laman peminat facebooknya yang mempunyai sehingga 60,000 eminat.
"Laman peminat ini selalunya, kalau betul peminat akan kekal nama dia tapi ini tidak. Dia masuk, dia buat komen begitu, kemudian dia hilang. Tapi dalam masa singkat dia boleh e-mel kepada saudara Saiful," katanya lagi.
