Bekas MB Kedah nafi dakwaan Mahfuz

Bekas menteri besar Kedah Datuk Seri Mahazir Khalid menafikan kenyataan naib presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar bahawa perarakan Maulidur Rasul di negeri itu telah dibatalkan sejak zaman pemerintahan Umno.

mahadzir khalidSebaliknya, Mahazir berkata, kerajaan Kedah sewaktu pentadbiran Umno, tidak pernah membatalkan majlis perarakan tersebut.

Mengulas kenyataan Mahfuz yang juga ahli parlimen Pokok Sena, beliau berkata kenyataan itu dikeluarkan tanpa mengetahui perkara sebenar.

"Kita tidak pernah batalkan (perarakan). Semua program kita buat. (Mahfuz) kata begitu sebab dia tidak tahu (perkara sebenar).

"Dia cuma hendak selamatkan kawan dia yang di Pulau Pinang itulah," kata Mahazir ketika dihubungi Malaysiakini hari ini.

Mahfuz semalam berkata perarakan Maulidur Rasul telah dibatalkan sejak zaman pemerintahan Umno lagi di negeri itu.

Isu ini timbul berikutan tindakan kerajaan negeri Pulau Pinang membatalkan satu program perarakan sempena sambutan hari kelahiran junjungan besar Nabi Muhammad SAW.

Menjelas lanjut, Mahazir berkata, kerajaan Kedah sebelum ini membuat giliran untuk mengadakan sambutan Maulidur Rasul di setiap daerah di negeri itu.

"Dulu, kita akan buat dua program, satu di dalam dewan dan satu lagi perarakan di luar. Kita tidak pernah batalkan perarakan.

"Sekarang ini (kerajaan Pakatan Rakyat Kedah) buat perhimpunan program di dalam dewan sahaja," katanya lagi.

NONESementara itu, bekas timbalan menteri pendidikan, Datuk Mahadzir  Mohd Khir berkata isu berkaitan perarakan Maulidur Rasul itu timbul, ekoran soal kemampuan kerajaan negeri menganjurkan bentuk sambutan seperti itu.

Katanya, perarakan seperti itu secara tradisinya dianjurkan di peringkat pusat, manakala di negeri-negeri, bentuk sambutan lebih tertumpu di masjid-masjid masing-masing.

"Di Kedah saya tidak tahu jika diadakan perarakan. Tapi kita lebih banyak buat kenduri di masjid-masjid.

"Pada awalnya (perarakan) adalah untuk untuk mengumpulkan masyarakat Islam bagi memperingati hari kelahiran Nabi Muhammad SAW. Bajet untuk program ini daripada pejabat perdana menteri kerana mereka juga terlibat menganjurkannya," katanya.

Tambahnya, sambutan Maulidur Rasul itu tidak perlu disertai dengan perarakan sekiranya negeri-negeri tersebut tidak mampu menganjurkan program seperti itu.

"Yang mana negeri-negeri yang ada bajet, mereka anjurkan. Yang tidak ada bajet, tidak mahu buat pun tak apa, cuma isu ini jangan dipolitikkan," katanya.

Katanya lagi, isu tersebut juga tidak seharusnya dipolitikkan oleh mana-mana kumpulan politik, baik BN atau Pakatan Rakyat.

"Saya tidak tahu bagaimana isu ini boleh ditimbulkan. Saya tidak melihat surat-surat tersebut," katanya, merujuk kepada dokumen-dokumen yang disebut oleh ketua menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng berhubung dakwaan pembatalan perarakan Maulidur Rasul di negeri itu.

Tambahnya, sambutan Maulidur Rasul juga boleh dijalankan dalam bentuk lain dan tidak semestinya melibatkan perarakan.

"Lebih baik lagi kalau buat kenduri dan anjurkan majlis ceramah agama di masjid-masjid. Ini memang diamalkan sejak lama lagi," tambahnya.
 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.