Most Read
Most Commented
Read more like this
mk-logo
News
SPR pamerkan persempadan semula kerusi Parlimen dan Negeri mulai hari ini

Syor persempadanan semula kawasan pilihanraya negeri-negeri Semenanjung dan Sabah, yang membabitkan pertambahan 25 kerusi Parlimen dan 59 kerusi negeri dipamerkan kepada umum di 748 tempat pameran di seluruh negara, mulai hari ini.

Dalam reaksi awalnya, Naib Presiden PAS Datuk Mustafa Ali menyifatkan persempadan semula kawasan pilihanraya Parlimen dan Negeri oleh Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) sebagai 'berat sebelah" manakala parti-parti pembangkang yang lain memberi reaksi berbeza terhadap perkara itu.

Walaupun mengalu-alukan syor balas daripada orang, SPR menegaskan suruhanjaya itu tidak akan melayan surat yang umum, mengajar SPR mengenai politik dan cara mengendalikan pilihanraya.

"Jangan membuang masa anda dan SPR kerana kami mempunyai banyak perkara penting untuk dilakukan," kata pengerusi SPR, Datuk Abdul Rashid Abdul Rahman.

Katanya, orang ramai yang hanya mengemukakan representasi bercorak bantahan terhadap syor SPR tanpa mengemukakan syor balas tidak akan dilayan.

Bercakap dalam sidang akhbar di ibu pejabat SPR di Putrajaya, beliau berkata kajian pilihanraya Parlimen membabitkan 166 kawasan dan 442 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN).

Di samping nama baru yang dipilih bagi bahagian pilihanraya baru, terdapat juga perubahan nama kepada bahagian-bahagian pilihanraya tertentu.

Nama baru

Johor mendahului negeri-negeri lain dengan mendapat tambahan enam Parlimen dan 14 DUN diikuti; Sabah (lima Parlimen, 12 DUN); Selangor (lima Parlimen, enam DUN); Pahang (tiga Parlimen, empat DUN); Pulau Pinang (dua Parlimen, tujuh 2 DUN); Perak (satu Parlimen, tujuh DUN); Negeri Sembilan (satu Parlimen, empat DUN); Melaka (satu Parlimen, tiga DUN); Kelantan (dua DUN) dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur satu Parlimen.

Dengan itu jumlah kerusi Parlimen meningkat kepada 219 daripada 194 sekarang manakala kerusi DUN meningkat kepada 563 daripada 504 sekarang. Jumlah kerusi Parlimen dan negeri bagi Perlis, Kedah, Terengganu dan Wilayah Persekutuan Labuan tidak berubah.

Berikutan itu, kerusi Parlimen di Johor kini berjumlah 26, Sabah (25), Selangor (22), Pahang (14), Pulau Pinang (13), Perak (24), Negri Sembilan (8), Melaka (6), Wilayah Persekutuan (11).

Manakala jumlah kerusi DUN di Sabah kini berjumlah 60, Perak (59), Johor (54), Selangor (54), Kelantan (45), Pahang (42), Negri Sembilan (36), Penang (35) dan Melaka (28).

Menurut Abdul Rashid, pertambahan kerusi itu perlu berikutan berlaku banyak perubahan di segi pembangunan kawasan dan pertambahan pemilih di kawasan terbabit dalam tempoh lapan tahun lalu.

Katanya, Selangor dan Johor mendapat pertambahan kerusi yang besar berdasarkan jumlah penduduk kedua-dua negeri, iaitu 1,324,269 (Selangor) dan 1,180,648 (Johor).

Pertambahan pemilih

Menurutnya lagi, purata jumlah pengundi bagi setiap kerusi Parlimen ialah 50,000. Bagaimanapun, bagi Kelantan purata itu ialah 45,000.

Abdul Rashid berkata, kajian SPR mendapati tidak banyak berlaku pembangunan di Kelantan bagi membolehkan suruhanjaya itu mencadangkan pertambahan kerusi parlimen di negeri itu.

Katanya, 250,000 orang keluar dari Kelantan untuk mencari pekerjaan di luar kerana ketiadaan peluang pekerjaan di negeri itu.

Ini, katanya, mungkin berterusan dan boleh menyebabkan Kelantan semakin kekurangan penduduk, sepertimana juga yang berlaku di Terengganu.

Urusan persempadanan semula bahagian pilihanraya Parlimen dan Negeri perlu dilakukan apabila mencapai tempoh lapan tahun selepas urusan persempadanan terakhir dilakukan. Urusan terakhir kajian semula bahagian pilihan raya bagi negeri-negeri Semenanjung dan Sabah ialah 11 Mac 1994.

Abdul Rashid berkata Sarawak tidak terlibat dalam kajian semula bahagian pilihanraya kerana belum tiba masanya lagi berikutan urusan berkenaan telah diadakan pada 1996.

Menurutnya, pihak yang layak membuat syor balas dan rayuan terhadap syor persempadanan semula itu ialah kerajaan negeri atau penguasa tempatan yang terlibat dalam urusan berkenaan, sekumpulan 100 orang atau lebih yang namanya terdapat dalam daftar pemilih semasa bagi bahagian pilihanraya berkenaan, orang perseorangan dan pertubuhan yang berdaftar.

Perlu penjelasan

Sementara itu, Mustafa berkata, PAS sudahpun diberitahu terlebih awal bahawa Kelantan dan Terengganu tidak akan mendapat tambahan kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam persempadanan semula itu.

"Pertambahan dua kerusi DUN di Kelantan hanya sekadar menyesuaikan kawasan terbabit mengikut kawasan daerah pertadbiran masing-masing," katanya kepada Malaysiakini hari ini.

Manakala pemangku Setiausaha Agung DAP, Chong Eng berkata, pemimpin-pemimpin parti politik memerlukan lebih masa untuk mengkaji syor persempadanan semua itu.

Bagaimanapun, beliau melahirkan rasa "was-wasnya" mengapa ada negeri yang mendapat pertambahan kerusi yang besar, dan ada negeri yang tidak mendapat langsung.

"Johor dan Sabah, yang merupakan kubu kuat Barisan Nasional, mendapat pertambahan besar. Begitu juga dengan pertambahan kerusi di Selangor. Kita mahu tahu apa rasionalnya," katanya.

ADS