Hentian Puduraya akan ditutup empat bulan

   

Hentian Puduraya di Kuala Lumpur akan ditutup selama empat bulan tidak lama lagi untuk memberi laluan kepada kerja-kerja pengubahsuaian.

NONE Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin berkata tarikh tepat penutupan itu bagaimanapun masih belum dimuktamadkan.

Sepanjang tempoh penutupan itu pengguna bas ekspres untuk destinasi ke selatan akan menggunakan depoh sementara di Jalan Hang Tuah di Kuala Lumpur untuk menaiki bas, manakala Hentian Duta pula digunakan bagi menempatkan bas-bas ekspres bagi perjalanan ke utara negara.

Bercakap kepada pemberita ketika ditemui semasa melawat tapak depoh bas ekspres sementara di Jalan Hang Tuah hari ini Raja Nong Chik berkata kajian terperinci masih dijalankan untuk menentukan tarikh sebenar bagi depoh bas ekspres sementara di Jalan Hang Tuah memulakan operasinya.

puduraya bus station 260908 02 Beliau berkata pada mulanya depoh sementara itu dicadangkan untuk mula beroperasi pertengahan bulan depan, namun menurutnya beliau meminta pihak yang terbabit supaya mengkaji semula tarikhnya bagi mendapatkan tarikh yang benar-benar sesuai, semata-mata untuk memberi keselesaan kepada pengguna.

Raja Nong Chik berkata pihak pengurusan Puduraya, UDA Holdings Bhd dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sudah diarah supaya meneliti pelbagai aspek agar perubahan sementara selama empat bulan itu dapat berjalan lancar.

Sementara itu merujuk kepada depoh sementara bas ekspres di Jalan Hang Tuah itu beliau berkata kaunter-kaunter tiket serta ruang untuk gerai-gerai makanan kini sudah disediakan.

"Mereka (pengusaha makanan) yang setuju berpindah akan dipindahkan sementara tanpa bayaran apa-apa, lebih separuh dah setuju, yang separuh lagi ingin berehat empat bulan," katanya.

puduraya bus station 260908 01 Tinjauan mendapati beberapa papan tanda jalan yang menunjuk arah ke depoh berkenaan sudah diletakkan bermula dari Hentian Puduraya bagi memudahkan pengguna ke lokasi depoh bas ekspres yang terletak berhampiran Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur (IPKKL) dan stesen monarail Hang Tuah serta stesen LRT RapidKL Jalan Hang Tuah itu.

Depoh seluas 1.9 hektar bernilai kira-kira RM6 juta itu dilengkapi dengan pelbagai kemudahan seperti kaunter tiket, tempat makan, tempat mencuci bas, tempat rehat pemandu, surau, kafetaria dan pondok kawalan keluar masuk bas.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang meninjau Hentian Puduraya dua kali sebelum ini, iaitu pada 25 April dan 16 Sept lepas, baru-baru ini mengumumkan peruntukkan RM52 juta untuk mengubahsuai terminal bas Puduraya kepada hub pengangkutan moden.

- Bernama

Malaysiakini
terkini untuk anda