Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
MIC minta k'jaan bentuk mekanisme pantau MEB
Diterbitkan:  Mar 18, 2010 4:47 PM
Dikemaskini: 8:53 AM

MIC meminta kerajaan membentuk mekanisme pemantauan untuk memastikan kejayaan sistem penyampaian di bawah Model Ekonomi Baru (MEB) dan Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10) yang akan diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak pada hujung bulan ini.

NONE Presidennya Datuk Seri S Samy Vellu berkata mekanisme itu akan memastikan semua polisi dan inisiatif untuk masyarakat India direalisasikan dalam tempoh yang ditetapkan, khususnya menerusi RMK-10.

"Kita akan membincangkan lebih lanjut perkara ini dengan Unit Perancang Ekonomi (EPU)," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Kerja Pusat parti, di Kuala Lumpur hari ini.

Samy Vellu berkata beliau akan mengetuai delegasi berjumpa Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Nor Mohamed Yakcop esok bagi membincangkan cadangan mekanisme dan saranan-saranan parti untuk dimasukkan di dalam RMK-10.

MIC telah menggariskan enam bidang utama yang perlu diberikan tumpuan oleh kerajaan untuk membangunkan masyarakat India iaitu pembangunan sekolah Tamil, belia, keluarga dan masyarakat, perniagaan mikro, ekonomi dan ekuiti, dan keupayaan penyampaian dan pemantauan, katanya.

NONE Mengenai pembangunan sekolah Tamil, MIC menggesa kerajaan memastikan penubuhan prasekolah di semua sekolah, selain meningkatkan kualiti pendidikan dan infrastruktur, katanya.

Berkenaan belia India pula, parti itu mahu lebih banyak peluang latihan kemahiran diberikan kepada mereka khususnya bagi yang berada di kawasan bandar, selain menyediakan latihan keusahawanan dan pinjaman perniagaan, kata Samy Vellu.

Beliau berkata MIC berpandangan bantuan kerajaan diperlukan untuk membawa belia India bertumpu kepada bidang industri kecil dan sederhana.

MIC juga mahu perkhidmatan awam mendekati semua kumpulan dan membantu mereka mendapatkan peluang dalam pelbagai inisiatif kerajaan.

Mengenai pembangunan masyarakat, beliau berkata wujud keperluan untuk mempromosikan bahasa India lain seperti Telegu dan Malayalam bagi memastikan kelestariannya.

Samy Vellu juga mengumumkan pelantikan pelbagai jawatankuasa kecil dalam parti termasuk pendidikan yang akan diketuai Datuk T Marimuthu.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS