ALSO BY

Calon lelaki atau wanita sama sahaja, kata Dr Lo Lo

PAS perlu meletakkan calon terbaik, tidak kira lelaki atau wanita, untuk bertanding dalam sebarang pilihanraya, kata ahli jawatankuasa PAS pusat, Dr Lo' Lo' Mohd Ghazali.

"Oleh itu, tidak timbul soal pemilihan calon lelaki atau wanita, kerana yang terbaik sahaja akan terpilih mewakili parti," katanya kepada malaysiakini.

Semalam, Menteri Besar Kelantan Datuk Seri Nik Aziz Nik Mat berkata, PAS sedia memberikan kerusi kepada calon muslimat di Kelantan dalam pilihanraya umum akan datang "sekiranya ada permintaan dan kemahuan" dari mereka.

Menurut Dr Lo' Lo', adalah terlalu awal untuk memperkatakan mengenai perletakan calon wanita buat masa ini sehinggalah ada keperluan untuk berbuat demikian.

"Bila tiba masanya, kita akan melihat siapakah calon terbaik untuk sesuatu kawasan pilihanraya. Sekiranya, calon yang terbaik adalah wanita, maka kita calonkan wanita, dan begitulah sebaliknya," jelas beliau.

Sejajar dengan itu, Dr Lo' Lo' berkata Dewan Muslimat PAS akan mengemukakan nama calon wanita yang dianggap sesuai untuk dijadikan calon, tetapi akan tetap akur dengan pemilihan muktamad parti.