Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Hadi: MEB tiada roh, imbasan konsep Dr M
Diterbitkan:  Mar 31, 2010 11:34 AM
Dikemaskini: 4:47 AM

PAS menyifatkan Model Ekonomi Baru (MEB) yang dibentangkan kerajaan di parlimen “tidak mempunyai roh” dan “tidak menekankan kepentingan akhlak” bagi memastikan ketelusan pelaksanaan sesuatu dasar.

NONE “Sesebuah negara boleh sahaja mempunyai dasar yang melangit halatujunya, tetapi tanpa akhlak yang dihayati oleh pembuat dan pelaksana dasar – maka negara masih akan dibelenggu dengan sistem liberal kapitalis.

“Akhirnya hanya membuat perubahan terhadap kulit dan bukannya bersifat holistik, merangkumi perkaitan antara dosa-pahala dan keadilan menyeluruh,” kata presidennya Datuk Seri Abdul Hadi Awang ( atas, berserban ).

Beliau yang juga ahli parlimen Marang berkata, penekanan terhadap peranan swasta dalam memacu ekonomi secara drastik akan memberikan memungkinkan jurang antara bandar dan luar bandar melebar.

Idea lapuk Dr Mahathir

“MEB itu juga merupakan imbasan kembali kepada konsep pensyarikatan dan penswastaan Malaysia yang dilaksanakan oleh Tun Dr Mahathir ( bawah ) semasa menjadi perdana menteri, di mana kerajaan akan melepaskan kepentingannya sedikit demi sedikit dalam sektor perkhidmatan rakyat, kepada pihak swasta,” kata Abdul Hadi dalam satu kenyataan hari ini.

mahathir putrajaya pc 310107 whatever Abdul Hadi berkata, pelepasan tanggungjawab kerajaan kepada pihak swasta melahirkan satu monopoli baru sektor perkhidmatan yang akhirnya menekan ekonomi rakyat.

Tambahnya, rakyat bukan semata-mata mahu melihat peningkatan statistik berhubung pendapatan negara tetapi mahukan suasana masyarakat yang selamat daripada jenayah, sifar rasuah, ketelusan dan bebas daripada tekanan politik sempit.

Maseu minta KHAZANAH  buat kajian dulu

Sementara itu, Kesatuan Kakitangan Malaysian Airline System (Maesu) menyeru Khazanah Nasional Bhd (KHAZANAH) supaya melakukan penyelidikan dan kajian berasingan ke atas setiap syarikat berkaitan kerajaan (GLC) sebelum memutuskan untuk melupuskan kepentingan di dalam mana-mana syarikat berkenaan.

klia haze aircraft landing 161006 Setiausaha Eksekutif Maseu, Mustafar Maarof berkata KHAZANAH tidak boleh merasa teruja untuk melupuskan kepentingannya di dalam mana-mana GLC hanya kerana bertujuan untuk menarik lebih banyak pelaburan langsung asing (FDI) untuk meningkatkan aliran tunai syarikat berkenaan.

"KHAZANAH perlu ingat bahawa mereka bukan sahaja satu cabang pelaburan kerajaan malah bertanggung jawab terhadap keselamatan negara ini," kata Mustafar dalam satu kenyataan hari ini.

"KHAZANAH memegang saham di dalam pelbagai industri dan sektor yang berbeza di negara ini, sambil menyatakan, sehubungan itu ia  perlu melakukan penyelidikan dan kajian berasingan sebelum memutuskan (melupuskan kepentingan) di dalam setiap syarikat secara berasingan.

"GLC seperti Pos Malaysia, Tenaga Nasional Bhd, Telekom, MAHB dan MAS  terlibat di dalam pelbagai urus niaga yang berbeza antara satu sama lain.

"Dengan hanya mempunyai satu keputusan untuk melupuskan saham di dalam syarikat-sayrikat GLC akan hanya mewujudkan kekeliruan di kalangan pemegang kepentingan mengenai cara pengurusan perniagaan berkenaan dikendalikan," kata Mustafar.

Dengan itu, Maseu menyeru KHAZANAh untuk melaksanakan satu kajian dan penyelidikan yang komprehensif serta mulai berunding dengan para pemegang kepentingan dan kesatuan sebelum memutuskan untuk melupuskan saham-saham berkenaan.

   

ADS