Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
PM: Laporan henti bekalan minyak ke Iran tak betul
Diterbitkan:  Apr 17, 2010 11:50 AM
Dikemaskini: 11:52 PM

Laporan media asing yang memetik Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai berkata bahawa Malaysia telah menghentikan bekalan minyak ke Iran adalah tidak betul, kata perdana menteri.

    

Beliau berkata sebenarnya Petronas terlibat dalam penjualan lani (spot sale) kepada Iran pada pertengahan Mac melalui urusniaga pihak ketiga, tetapi selepas itu tidak ada lagi permintaan terhadap bahan tersebut.

    

"Tak betul, ia bukan keputusan Petronas sendiri. Ia melibatkan satu jualan lani dan tidak ada lagi keperluan selepas itu, jadi mereka dah tak buat (lagi)," katanya kepada wartawan Malaysia di New York.

    

"Ia suatu urus niaga pihak ketiga yang dibuat pada pertengahan Mac, bukan sekarang. Saya agak terperanjat apabila perkara ini telah menimbulkan keadaan yang begitu riuh-rendah," kata Najib pada hari terakhir dalam rangka lawatan beliau selama seminggu ke Washington dan New York.

    

Beliau berkata urus niaga itu semata-mata bersifat komersial dan sekiranya terdapat lagi permintaan bagi penjualan lani, terserahlah kepada pihak yang terlibat untuk menguruskannya.

    

Laporan media mengaitkan penghentian jualan itu dengan tekanan antarabangsa terhadap Iran berkaitan program nuklearnya serta perkembangan yang berlaku menjelang berlangsungnya Sidang Kemuncak Keselamatan Nuklear di Washington minggu lepas yang turut memberi kesempatan kepada Najib untuk mengadakan rundingan dua hala buat julung kalinya dengan Presiden Barack Obama.

    

Sebelum ini, Najib telah menyatakan bahawa Iran berhak menggunakan tenaga nuklear bagi tujuan aman dan Malaysia tidak akan menyokong program pengeluaran senjata nuklear oleh negara itu.

    

- Bernama

ADS