Timbalan Presiden MIC Datuk G Palanivel hari ini menyatakan sokongan padu terhadap calon BN P Kamalanathan dalam pilihan raya kecil bagi kerusi parlimen Hulu Selangor.
Bercakap buat pertama kali selepas BN mengumumkan calonnya Khamis lepas, Palanivel berkata semua pemimpin MIC cawangan di kawasan itu yang sebelum ini menyokong beliau akan mengundi Kamalanathan pada 25 April ini kerana mereka setia pada parti.
"Undi MIC adalah untuk P. Kamalanathan dan tidak akan pergi ke tempat lain. Mereka (pemimpin cawangan) mungkin kecewa apabila saya tidak terpilih sebagai calon dalam pilihan raya kecil ini tetapi kemarahan mereka akan reda.
"Saya telah bercakap dengan pemimpin-pemimpin cawangan," katanya kepada pemberita selepas proses penamaan calon di sini.
Palanivel yang merupakan calon pilihan Presiden MIC Datuk Seri S Samy Vellu berkata beliau lebih utamakan masa depan parti berbanding masa depan dirinya.
Beliau adalah ahli parlimen Hulu Selangor selama empat penggal berturut-turut sebelum tewas dalam pilihan raya umum 2008. BN memilih Kamalanathan untuk merampas kembali kerusi itu atas permintaan pemimpin akar umbi yang mahukan muka baru.
Pilihan raya kecil itu akan menyaksikan pertandingan empat penjuru antara calon BN, PKR dan dua calon Bebas.
Kamalanathan yang juga ketua penerangan MIC akan berdepan dengan Datuk Zaid Ibrahim dari PKR dan dua calon Bebas iaitu V S Chandran yang juga bekas naib pengerusi MIC Hulu Selangor dan ahli jawatankuasa Pemuda Umno Shah Alam Johan Mohd Diah.
Palanivel berkata Kamalanathan mempunyai peluang cerah untuk memenangi pilihan raya kecil itu memandangkan beliau adalah muka baru di kawasan teserbut.
"Muka baru seperti Kamalanathan sepatutnya sudah mempunyai lebih 50 peratus undi dalam tangan. Saya mungkin ada musuh, beliau tidak ada," katanya.
- Bernama
