Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Umno: PAS keji burukkan BN
Diterbitkan:  Apr 29, 2010 4:46 PM
Dikemaskini: 8:52 AM

Umno mendesak kerajaan negeri Kelantan mendedahkan sumber peruntukan RM4 juta selama tiga tahun yang menurut satu laporan blog adalah bagi memburuk-burukkan pentadbiran bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi dan memastikan PAS kekal memerintah Kelantan.

NONE Sambil menyifatkan tindakan itu sebagai keji, Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata Umno Kelantan kesal dengan PAS dan kerajaan negeri itu yang sanggup mengambil tindakan untuk memburuk-burukkan BN melalui pelbagai kaedah termasuk laman blog semata-mata untuk kekal berkuasa.

Beliau, yang juga Menteri Perdagangan Antabangsa dan Industri mempersoalkan moral kepimpinan PAS dalam usaha menjatuhkan BN itu dan mendesak kerajaan negeri supaya mendedahkan dari mana sumber kewangan RM4 juta itu kerana rakyat Kelantan berhak untuk mengetahuinya.

"Ini satu perbuatan yang keji. Pas perlu dedahkan dari mana sumber kewangan mereka sama ada mereka daripada hasil balak, atau hasil lain mahupun daripada sumbangan individu tertentu. Rakyat berhak tahu," katanya kepada pemberita di Kota Bharu hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas laporan media bahawa penulis blog Kickdefella, Syed Azidi Syed Abdul Aziz mengakui menerima peruntukan lebih RM4 juta dalam tempoh tiga tahun bertujuan mewujudkan persepsi buruk bagi melemahkan Abdullah dan memastikan PAS terus kekal memerintah di Kelantan.

syed azidi syed abdul aziz kickdefella police pc 171008 02 Syed Azidi juga mendakwa beliau membelanjakan wang itu bagi membiayai pelbagai aktiviti termasuk membeli aset, peralatan, pembayaran upah operatif dan lain-lain yang bertujuan menggerakkan satu Operasi Gerak Saraf bgi mewujudkan persepsi buruk ke atas Abdullah dan memudahkan PAS kekal memerintah Kelantan.

Penulis blog itu turut mencabar pihak-pihak terbabit supaya menjalankan siasatan berhubung pendedahan itu dan dari mana sumber peruntukan yang disalurkan kepadanya diperoleh.

Mustapa berkata pihaknya juga kesal dengan sikap kerajaan negeri yang sanggup menggunakan RM4 juta semata-mata untuk menaburkan fitnah tanpa bukti kepada BN sedangkan wang sebanyak itu dapat disalurkan kepada rakyat yang lebih memerlukan.

Sehubungan itu, beliau juga meminta supaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) supaya membuat siasatan terhadap dakwaan laporan blog Kickdefella itu.

"Kita juga mendesak PAS dan kerajaan negeri supaya menghentikan perbuatan keji itu dengan menabur fitnah tanpa sebarang asas. Sebaliknya kerajaan negeri harus memberikan fokus untuk membangunkan negeri," katanya.

- Bernama

ADS