Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Kesan kunjungan Rosmah ke AS
Diterbitkan:  May 1, 2010 10:53 AM
Dikemaskini: 7:03 AM

Kunjungan Rosmah Mansor ke Amerika Syarikat (AS) baru-baru ini telah berjaya meningkatkan lagi imej negara di luar negara, khusus menerusi perkongsian pengalaman beliau berhubung program pembangunan kanak-kanak yang beliau laksanakan di Malaysia, usaha mempromosi pelbagai budaya negara dan kerja-kerja amal yang beliau lakukan semasa lawatan

tersebut, demikian dilaporkan Bernama.

Menurut agensi berita nasional itu, bukan sahaja beliau dapat memainkan peranan secara berkesan sebagai isteri perdana menteri Malaysia semasa berada di Washington dan New York, namun Rosmah turut dilihat dapat melengkapkan lagi lawatan Datuk Seri Najib Tun Razak yang berhasrat membuka lembaran baru dalam peningkatan hubungan Malaysia-Amerika Syarikat dalam pelbagai bidang.

Sebagai permulaannya, apabila Rosmah diberi penghormatan mengambil bahagian dalam Forum Wanita Antarabangsa (WIF) yang berprestij "First Ladies Speak" di Dewan Hal Ehwal Ekonomi dan Sosial Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (ECOSOC) di New York, di mana beliau telah membangkitkan mengenai kepentingan untuk membuat pelaburan demi masa depan kanak-kanak yang merupakan modal insan akan datang.

Rosmah turut dianugerahi dengan Anugerah Keamanan dan Keharmonian Antarabangsa daripada Majlis Perniagaan bagi Persefahamanan Antarabangsa (BCIU) Amerika Syarikat, sebagai mengiktiraf pelbagai kerja-kerja amal yang telah beliau lakukan.

Anugerah tersebut juga sebagai meraikan hubungan penting yang semakin berkembang pesat antara Malaysia dengan kuasa besar dunia itu yang menjanjikan perolehan kepentingan bersama menerusi peningkatan perdagangan dan pelaburan kepada kedua-dua ekonomi untuk mula pulih dari krisis ekonomi global yang masih melanda.

Pada konvensyen khas WIF di mana Rosmah dan isteri Perdana Menteri Jamaica, Lorna Golding dijemput berucap, Rosmah telah menyentuh mengenai keperluan membantu kanak-kanak yang memerlukan bantuan, yang disifatkannya sebagai perjalanan yang perlu diteruskan oleh masyarakat antarabangsa bagi membantu golongan berkenaan.

Beliau mengajak masyarakat antarabangsa untuk memperkasakan golongan kanak-kanak.

Di forum itu, Rosmah turut berkongsi pengalamannya dalam melaksanakan program pembangunan kanak-kanak Permata Negara yang dimulakannya lebih tiga tahun lalu.

Para peserta konvensyen yang terdiri kebanyakannya dari kalangan isteri para diplomat dan perwakilan ke PBB serta kalangan wanita profesional dari pelbagai latar belakang kerjaya begitu responsif terhadap isu yang beliau bangkitkan.

Sesetengahnya datang berjumpa sendiri dengan beliau kemudiannya untuk mendapat penjelasan lebih lanjut mengenai program pembangunan kanak-kanak yang dilaksanakan di Malaysia.

Beliau dan rombongan yang termasuk ahli-ahli Badan Amal dan Kebajikan Tenaga Isteri-isteri (Bakti) serta Persatuan Isteri Menteri Besar dan Ketua Menteri turut melawat projek-projek komuniti yang dilaksanakan di Washington yang telah menambahkan lagi pengalaman mereka.

Misalnya mereka turut melawat pusat kegiatan seni Sitar Arts Center, yang telah dianugerahkan "The Coming Up Taller" oleh Wanita Pertama Amerika, Michelle Obama sebagai mengiktiraf peranan pusat itu selaku pusat kegiatan seni perdana selepas waktu persekolahan dan sebagai pertubuhan kemanusiaan untuk golongan remaja.

Lawatan turut meliputi Martha's Table, iaitu pusat bagi kanak-kanak selepas habis waktu persekolahan, yang terletak di kawasan yang pernah menjadi kawasan penagihan dadah.

Lawatan ke pusat-pusat sebegini yang dikendalikan oleh para sukarelawan, telah mendedahkan kepada ahli-ahli Bakti ke arah menubuhkan pusat yang serupa di Malaysia di mana kanak-kanak dan golongan remaja berpeluang menghabiskan masa mereka selepas menghadiri kelas, secara lebih produktif.

Dalam kunjungan ke pusat-pusat ini, Rosmah telah menunjukkan kemesraan terhadap kanak-kanak dan remaja tersebut menerusi perbualan dan minat mendalam yang beliau tumpukan kepada projek dan aktiviti yang mereka lakukan.

Remaja dan kanak-kanak berkenaan turut teruja dengan kahadiran rombongan itu dan menunjuk minat tentang Malaysia, masyarakat dan budayanya menerusi penjelasan yang disampaikan oleh Rosmah.

Sifat keibuan beliau terserlah apabila beliau memeluk mereka sambil diperhatikan oleh guru-guru yang nyata tersentuh dengan sikap Rosmah itu.

Sifat kemesraan beliau jelas terbukti ketika berada di IvyMount School di Rockville, kira-kira 20 kilometer dari Washington, yang merupakan sekolah untuk kanak-kanak autistik, terancat akal, lemah bertutur dan mengalami pelbagai ketidakupayaan lain.

Di sini beliau menyentuh hati ramai pihak terutama di kalangan para pelajar autistik menerusi sifat kasih sayang dan prihatin yang beliau tunjukkan kepada mereka.

Beliau meluang masa mendengar mereka menyanyi dan membuat persembahan, berbual dan menggalakkan mereka untuk tampil menonjolkan diri.

Di Martha Table misalnya, para remaja bertukar-tukar pendapat dengan Rosmah mengenai kepentingan pusat seumpama itu yang bukan sahaja tempat mereka dapat meluangkan masa selepas sekolah, tetapi turut menyediakan peluang untuk mereka memperolehi kemahiran dan memperolehi pendapatan sampingan.

Di Washington pula, Rosmah melancarkan acara kebudayaan yang bertemakan "Faces of 1Malaysia Festival" di ibu pejabat National Geographic Society di mana beliau turut memberi penerangan kepada para hadirin mengenai Malaysia, masyarakat, makanan dan budayannya serta kossep 1Malaysia.

Festival tersebut yang disifatkan sebagai simbol persahabatan antara Malaysia dengan Amerika dianjurkan oleh Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, bukan sahaja telah mempersonakan pengunjung dengan persembahan muzik dan kebudayaan pelbagai kaum rakyat Malaysia, tetapi mereka juga dapat menikmati keenakan makanan Malaysia seperti sate ayam, roti canai dan taufu bakar.

Semasa melawat gerai-gerai di situ, Rosmah sempat menunjukkan kemahirannya membuat teh tarik yang telah menceriakan para pengunjung antarabangsa di situ.

Sesungguhnya kunjungan Rosmah ke Amerika merupakan kunjungan yang bermanfaat dalam mendedahkan kepada ahli-ahli Bakti mengenai pelbagai program dan teknik yang boleh dilakukan dalam usaha menangani gejala sosial di kalangan remaja.

Rosmah telah dapat menjalin hubungan berkesan selain meningkatkan hubungan sedia ada menerusi visi utama beliau iaitu membantu kanak-kanak yang memerlukan pertolongan.

- Bernama

ADS