Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Pelbagai versi cerita mengenai pergolakan dalam Istana Kelantan sedang meniti di bibir warga negeri ini, terutama mengenai kegeringan Sultan Ismail Petra.

Setakat ini, belum ada penjelasan rasmi dikeluarkan mengenai perkembangan dan keadaan baginda yang sebelum ini gering dan mendapatkan rawatan di luar negara.

NONE Ini menimbulkan banyak spekulasi di kalangan warga Kelantan yang rata-rata tidak senang dengan perkembangan yang berlarutan sejak Mei tahun lalu.

Insiden dan drama yang berlangsung di kalangan bangsawan ini, secara langsung, tidak memberi kesan kepada kehidupan seharian mereka.

NONE Warga negeri yang majoritinya Melayu ini dilihat masih menjalankan kehidupan seharian seperti biasa. Drama yang berlangsung di istana tidak menyekat aktiviti jual beli, dan pentadbiran kerajaan di sini.

Namun, kebimbangan yang wujud kini dilihat lebih terarah kepada aspek penyalahgunaan kuasa ataupun perlakuan jenayah, berbanding 'misteri' yang menyelubungi istana.

Kegelisahan ini daripada beberapa perkembangan yang berlaku sejak akhir-akhir ini, yang dipandang serius oleh masyarakat di sini.

Salah satu insiden yang kerap menjadi buah mulut ialah serangan ke atas seorang pengawal peribadi istana pada awal bulan ini. Mangsa, Ramli Mohd, cedera parah akibat ditembak menggunakan senjata api.

Pertelagahan di antara pemangku raja Tengku Muhammad Faris Petra dan Tengku Temenggong Tengku Muhammad Fakhry pula bukan sekadar cabar-mencabar di dalam jawatankuasa perajaan negeri sahaja, malah terseret ke Mahkamah Khas.

azlan Seorang waris kepada keluarga diraja Kelantan, Tengku Alang Tengku Ibrahim melihat, tindakan untuk mendapatkan perintah mahkamah seperti itu adalah wajar.

"Kemudian, barulah boleh kata apa-apa keputusan itu bersih. Tapi kalau tidak perlu pergi ke mahkamah, selesaikan di istana sahaja orang nampak lebih baik," katanya ketika ditemui di pusat bandar Kota Bharu.

Katanya lagi, beliau percaya Sultan Ismail Petra Sultan Yahya Petra kini gering disebabkan masalah tekanan darah.

"(Apa yang) saya diberitahu, Tuanku Ismail mengalami masalah tekanan darah," katanya yang merupakan seorang saudara sepupu kepada Tengku Ahmad Rithauddeen Tengku Ismail.

NONE Tengku Alang, 65, juga mengakui ada pihak yang ingin mengaitkan kegeringan yang dialami Sultan Ismail dengan isu melibatkan perkahwinan baginda dengan isteri kedua, Elia Suhana Ahmad.

Namun, beliau beranggapan perkara itu juga tidak sepatutnya diperbesar-besarkan, serta turut berharap isu tersebut akan selesai dalam tempoh beberapa bulan lagi.

"Kes bernikah, bercerai itu perkara kecil. Kalau sekarang (keluarga diraja) berbalah, dua tiga bulan lagi mereka akan berbaik semula.

"Kalau orang hendak mengata-ngata itu biarlah mereka hendak mengata. Nanti mereka sudah penat hendak mengata-ngata, mereka berhentilah.

"Saya pun sudah cemuih (muak) dengan isu ini. Sebenarnya isu kecil sangat, tidak menjadi gatal (beri kesan) pun kepada kita," katanya.

ADS