Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Subsidi: Tiada keputusan muktamad
Diterbitkan:  Jun 1, 2010 5:00 PM
Dikemaskini: 9:11 AM

Kerajaan belum lagi membuat sebarang keputusan muktamad mengenai pengurangan atau pemotongan subsidi, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

NONE Katanya kerajaan masih lagi meneliti apa yang patut dilakukan dalam perkara ini.

"Cuma kita gambarkan kalau kita tidak melakukan apa-apa (dalam hal ini), kesannya (kepada negara pada masa depan) sudahpun kita maklumkan," katanya kepada pemberita ketika ditanya sama ada kerajaan bercadang memotong insentif kepada Perusahaan Kecil dan Sederhana (SME) yang diberikan sekarang, seperti cadangan memotong atau mengurangkan subsidi kepada pelbagai barangan yang diberikan sekarang.

Terdahulu, Perdana Menteri melawat Pameran Inovasi Perusahaan Kecil dan Sederhana (SMIDEX) di Kuala Lumpur hari ini.

"SME dan subsidi isu berlainan. Tak (perlu) campur aduk," katanya.

Pada 27 Mei lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Idris Jala, yang juga ketua pegawai eksekutif Unit Penyampaian dan Pengurusan Prestasi (PEMANDU) - sebuah badan yang ditubuhkan bagi mengurangkan bebanan subsidi negara, berkata Malaysia menghadapi risiko menjadi negara Greece kecuali rakyatnya menelan hakikat pahit bahawa pengurangan subsidi akan menyaksikan harga petrol, makanan, elektrik dan beberapa barang keperluan tidak dapat dielakkan.

Katanya, hutang negara akan meningkat 100 peratus daripada keluaran dalam negara kasar menjelang tahun 2019 jika pemberian subsidi diteruskan.

Subsidi kini merupakan 54 peratus daripada KDNK negara.

Malaysia membelanjakan 15.3 peratus daripada perbelanjaan persekutuan bagi menampung subsidi pada bajet 2009 yang menyaksikan defisit berada pada peringkat tertingginya dalam dua puluh tahun.

Menurut Idris lagi, budaya subsidi mempunyai kesan negatif, dengan subsidi kerap dinikmati mereka yang tidak berhak selain tertakluk kepada ketirisan dan penyalahgunaan dan pada masa yang sama menggalakkan gangguan pasaran selain menggalakkan penggunaan berlebihan hasil daripada lebihan pengeluaran. 

ADS