Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Walaupun mula membuka ruang yang lebih besar kepada penyertaan bukan Islam, PAS sebagai sebuah parti berteraskan sokongan Melayu dilihat masih tercari-cari arah bagi menyesuaikan diri dengan realiti baru itu.

Ia tergambar dalam perbahasan perwakilan dalam muktamarnya hari ini, antaranya apabila mereka masing-masing menyuarakan kebimbangan terhadap kemerosotan sokongan orang Melayu.

Perwakilan Kelantan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, beliau risau dengan keghairahan PAS mendapatkan sokongan bukan Islam dan pengundi baru menyebabkan sokongan tradisinya merosot.

"Kalau dapat bini muda, janganlah dilupa bini tua. Buruk-buruk pun, biarlah, bini pertama," katanya disambut gelak ketawa kira-kira 1,000 perwakilan di Pusat Tarbiah Islamiyyah Kelantan (PUTIK) di Pengkalan Chepa.

"Biarlah kita igat (tangkap) dua-dua (pihak). Janganlah yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran," katanya yang juga exco kerajaan Kelantan.

Sementara itu perwakilan Perak Khalid Idham Lim pula melihat kewujudan dewan baru dalam PAS khas untuk bukan Islam menggambarkan golongan itu tidak lagi takut pada Islam.

"Kononnya menyokong PAS, kena potong atas (kepala), kena potong bawah (bersunat). (Tetapi) satu orang pun tidak (pernah) dipotong," katanya ADUN Titi Serong itu secara berseloroh.

Mualaf yang popular dengan gelaran "Cina Islam" itu juga berkata tindakan terbaru PAS itu melambangkan kehebatannya sebagai sebuah parti Islam yang sesuai untuk semua bangsa.

"Saya bukan Melayu. Saya sangat terharu terhadap penghargaan kepada bangsa saya sendiri untuk sama-sama berjuang untuk (PAS sebagai) wadah kebenaran yang kita perjuangkan bersama," tambahnya.

Katanya, penubuhan dewan itu membuktikan PAS bukanlah sebuah parti yang memperjuangkan kepentingan bangsa tertentu sahaja.

Sementara itu, perwakilan Terengganu Saiful Bahari Mamat pula mengucapkan tahniah kepada anggota Dewan Himpunan Penyokong PAS yang bersama mereka sebagai agen baru parti itu

"Sebagai penyampai lidah parti, sampaikan tentang keadilan bagaimanana Islam menguruskan negara ini, bagaimana Islam pernah mentadbir di India dan Cina," katanya.

Bagaimanapun, Saiful Bahari mengingatkan jangan sampai terjadi fenomena "keluar PAS sama banyak dengan yang masuk " ekoran "mainan politik" pihak-pihak seperti Umno, Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKARA) dan Gerakan Kebangkitan Rakyat (GERTAK).

ADS