Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
DPM selar Melayu yang pertikai dasar k'jaan
Diterbitkan:  Jul 4, 2010 9:07 PM
Dikemaskini: 1:09 PM

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menyelar sikap segelintir orang Melayu yang sanggup mempertikai dasar kerajaan termasuk kedudukan Raja-Raja Melayu, Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan usaha meningkatkan penguasaan orang Melayu dalam bidang ekonomi.

    

Sambil menyifatkan sikap itu sebagai satu ancaman berkekalan bagi perjuangan kerajaan BN yang diterajui Umno, beliau mengingatkan sikap sebegitu boleh mengundang bencana besar kepada negara.

    

"Orang Melayu sepatutnya bersatu di bawah satu payung untuk menentukan agenda membangunkan bangsa Melayu tercapai.

    

"Matlamat ini tidak akan tercapai jika kita terus berpecah belah," katanya ketika merasmikan persidangan perwakilan Umno bahagian Parit Sulong hari ini.

    

Muhyiddin yang juga timbalan presiden Umno berkata, golongan Melayu tersebut menyokong pembangkang khususnya DAP pimpinan Lim Kit Siang.

    

"DAP menganggap tindakan saya membela orang Melayu sebagai seorang ultra Melayu, sedangkan Lim Kit Siang lebih bersifat perkauman," katanya.

    

Kata beliau, dalam situasi yang amat mencabar ini, orang Melayu khasnya Umno perlu melipatgandakan usaha bukan sahaja untuk memperkukuh kedudukan parti tetapi berusaha melaksanakan tranformasi sejajar yang diputuskan di peringkat pusat supaya Umno dapat diterima oleh rakyat.

    

Beliau kesal kerana usaha tranformasi untuk mengukuhkan parti bagi menghadapi pilihan raya umum ke-13 di peringkat bahagian-bahagian berjalan perlahan, tidak sebagaimana diharapkan.

    

Menurut beliau, usaha menambahbaik parti itu perlu dilakukan segera supaya parti dilihat masih relevan oleh bukan sahaja orang Melayu tetapi terus diterima rakyat keseluruhannya.

    

Muhyiddin menegaskan, sebagai pemimpin nombor dua, beliau sentiasa membantu usaha Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang mengariskan gagasan 1Malaysia dan lain-lain dasar penambaikan pentadbiran negara untuk ditranformasikan di peringkat Umno di semua peringkat.

    

Usaha itu, katanya, penting untuk mengembalikan keyakinan rakyat terhadap BN dan seterusnya memenangi semula kerusi yang terlepas kepada pembangkang dalam pilihan raya umum lalu pada pilihan raya umum akan datang.

- Bernama

ADS