Presiden Singapura SR Nathan dan kerajaan republik itu diminta memberi pengampunan kepada seorang rakyat Malaysia, Yong Vui Kong, 22, yang dihukum mati kerana kesalahan mengedar dadah di negara itu tahun lalu.
Ngeow Chow Ying, penyelaras Kempen Selamatkan Vui Kong anjuran bersama Jawatankuasa Hak Asasi Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor dan Suara Rakyat Malaysia (Suaram), berkata Yong mungkin digantung bila-bila masa selepas 26 Ogos ini jika rayuan pengampunannya ditolak.
Yong dari Sabah didapati bersalah pada 7 Jan tahun lalu kerana mengedar 47gm dadah kawalan jenis diamorphine. Rayuannya yang difail pada 1 Dis tahun lalu telah ditolak.
Ngeow berkata semua rakyat Malaysia perlu menyokong rayuan oleh Yong kerana ia bukan satu isu kaum.
Katanya satu kempen mengumpul tandatangan orang ramai dan wakil rakyat akan dijalankan dan hasilnya diserahkan kepada presiden Nathan agar beliau mengampunkan Yong.
- Bernama
