Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Akta Kebankrapan dipinda untuk beri peluang kedua
Diterbitkan:  Jul 24, 2010 7:03 PM
Dikemaskini: 11:05 AM

Kerajaan akan meminda Akta Kebankrapan 1967 bagi memberi peluang kedua kepada ahli perniagaan tulen yang jatuh muflis akibat faktor luar kawalan untuk kembali berniaga, kata Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata, di bawah peruntukan akta sedia ada situasi "once bankrupt, always a bankrupt" akan berlaku, dan ia menyebabkan ahli perniagaan berkenaan disenaraihitamkan.

Namun, katanya, peluang kedua itu tidak diberikan kepada semua ahli perniagaan yang muflis tetapi hanya kepada golongan usahawan tulen yang perlu melalui satu proses, hingga usaha dan kemampuannya membaiki kedudukan kewangan syarikat diyakini.

"Akta Kebankrapan akan dipinda, agar boleh memberikan ruang supaya mereka yang mahu berniaga yang 'genuine'. Dia bankrap kerana ekonomi jatuh, persaingan, dan sebab itu, kerana ekonomi sudah pulih balik, dia patut ada peluang kedua," katanya.

Muhyiddin berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Usahawan Desa 2010 anjuran Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah di Stadium Bukit Jalil, hari ini.

Timbalan Perdana Menteri berkata, kerajaan juga akan meneliti dan mengkaji kenapa kes kebankrapan boleh terjadi, termasuk di kalangan usahawan muda supaya ia tidak menjadi satu trend yang tidak terkawal.

"Kajian akan dibuat untuk mengenal pasti punca kebankrapan itu sama ada disebabkan oleh kurangnya pengalaman maka syarikat mereka rugi ataupun mereka tidak berupaya membayar balik pinjaman dan seterusnya diisytiharkan bankrap," katanya.

Beliau juga menasihatkan pemilik kad kredit supaya merancang penggunaan kad itu dengan baik supaya tidak disalah guna ataupun terlebih guna hingga tidak mampu membayar balik.

 - Bernama

ADS