Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Petrol RON 95 bukan punca kebakaran semasa nahas
Diterbitkan:  Jul 29, 2010 3:38 PM
Dikemaskini: 7:45 AM

Kerajaan hari ini menolak dakwaan petrol RON 95 menjadi punca kebakaran sekiranya berlaku kemalangan akibat kandungan benzene yang tinggi.

petrol price hike panic 010705 shell station Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Rohani Abdul Karim, berkata RON 95 adalah bahan bakar yang mematuhi spesifikasi EURO2M yang mana dapat mengurangkan pencemaran udara akibat pelepasan sulfur.

Katanya, di bawah spesifikasi EURO2M itu, jumlah maksimum penggunaan benzene adalah lima peratus sahaja, dan benzene yang terkandung di dalam RON 95 berfungsi sebagai "octane booster" yang sebelum ini menggunakan plumbum.

"Pernyataan bahawa RON 95 menjadi punca berlaku kebakaran sekiranya berlaku kemalangan akibat kandungan benzene yang tinggi adalah tidak benar," katanya ketika menjawab soalan Senator Ahmad Hussin di Dewan Negara, di Kuala Lumpur hari ini.

Ahmad dalam soalannya ingin tahu sama ada benar dakwaan penggunaan RON 95 menyebabkan kenderaan yang terbabit dengan kemalangan mudah terbakar.

Mengulas lanjut, Rohani berkata berdasarkan kajian, kebakaran yang berlaku ketika kemalangan disebabkan tiga perkara iaitu percikan api daripada sumber penyalaan, enjin yang tiba-tiba terbakar serta kebocoran atau tumpahan minyak yang berlaku di bahagian tangki minyak.

"Yakinlah bahawa apa yang dipilih oleh kerajaan adalah yang terbaik untuk rakyat. Takkan kerajaan hendak bunuh rakyat di Malaysia," katanya.

Sekitar 1990an, kerajaan menggunakan minyak berplumbum yang kemudian dimansuhkan selepas didapati boleh menyebabkan kanser serta tidak mesra alam.

Kerajaan menggantikannya dengan petrol RON 92 dan RON 97. Namun bermula September tahun lalu, RON 92 dihentikan penjualannya dan diganti RON 95, sementara RON 97 pula dijadikan petrol gred premium.

- Bernama

ADS