Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Hina M'sia: Hubungan KL-Jakarta tak terjejas
Diterbitkan:  Aug 26, 2010 9:33 AM
Dikemaskini: 9:37 AM

Kerajaan yakin hubungan diplomatik antara Malaysia dan Indonesia tidak terjejas meskipun berhadapan dengan beberapa insiden, termasuk tindakan penunjuk perasaan melempar najis manusia ke kawasan Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta Isnin lalu, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

NONE Beliau berkata meskipun hubungan diplomatik sedia ada itu tidak terjejas, ia tidak bermakna bahawa kerajaan boleh menutup mata atau menarik nafas lega.

Katanya hubungan dua negara dikhuatiri lama kelamaan akan terjejas sekiranya insiden yang boleh mencetuskan ketegangan antara dua negara terus-menerus berlaku tanpa sebarang tindakan diambil.

"Ini kerana apa yang berlaku jelas boleh menimbulkan kemarahan rakyat. Justeru, insiden sebegini memerlukan penyelesaian dan kebijaksanaan dua negara dalam menanganinya," katanya kepada pemberita semasa menghadiri mjlis berbuka puasa di markas Pasukan Gerakan Am, Cheras di Kuala Lumpur, malam semalam.

Beliau berkata hubungan kedua-dua negara tidak seharusnya dikeruhkan lagi, malah hubungan diplomatik itu seharusnya digunakan untuk meredakan keadaan dan ketegangan yang berlaku disebabkan insiden-insiden sebelum ini.

NONE Hishammuddin berkata beliau yakin kedua-dua negara mampu menangani isu keselamatan di sempadan perairan masing-masing tanpa sebarang masalah, hasil kerjasama sedia ada.

"Penguasaan dan kawalan di sempadan perairan sentiasa ditingkatkan...Malaysia sendiri sentiasa berada dalam keadaan siapsiaga dan berwaspada akan sebarang kemungkinan yang boleh menjejaskan kesejahteraan negara," katanya.

Sementara itu Menteri Pertahanan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menasihatkan orang ramai supaya tidak membalas kembali perbuatan penunjuk perasaan di Indonesia itu.

Beliau berkata polis dan tentera Indonesia sedang berusaha menyelesaikan perkara tersebut kerana kawasan kedutaan merupakan kawasan kedaulatan sesebuah negara yang tidak harus dicerobohi oleh mana-mana pihak.

"Pihak polis dan tentera Indonesia sedang lakukan sesuatu supaya keharmonian di antara kedua negara ini dapat dipertahankan," katanya kepada pemberita selepas majlis berbuka puasa bersama warga angkatan tentera darat di kem Sungai Besi, di Kuala Lumpur, semalam.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS