Gerakan Anti-Samy Vellu (GAS) mendesak Kementerian Dalam Negeri (KDN) membatalkan permit penerbitan akhbar Tamil Nesan kerana
"mencemarkan reputasi" wartawan dari organisasi media lain.
Penyelaras GAS, KP Samy (kanan), yang dipecat dari MIC Mei lalu kerana menentang kepimpinan parti itu, mendesak KDN mengambil tindakan terhadap akhbar tersebut - yang dikuasai presiden MIC, Datuk Seri Samy Vellu - kerana melabelkan wartawan sebagai 'penipu dan tidak bermaruah '.
Bagaimanapun, ketua editor Tamil Nesan , A Veerasamy, yang mengguna nama pena Tamil Mani, memberitahu Malaysiakini bahawa beliau bukan merujuk kepada semua pengamal media dalam tulisannya, tetapi hanya seorang pemberita dari akhbar saingannya - Malaysia Nanban.
Dalam artikelnya, Veerasamy menulis semua organisasi media lain berat sebelah apabila melapor atau mengulas mengenai Samy Vellu.
"Saya bukan membela Samy Vellu, tapi saya menyuarakan pendapat saya mengenai seorang wartawan yang tidak mempunyai bermaruah dan kehormatan," kata Veerasamy.
"Saya merujuk kepadanya secara khusus kerana akhbarnya telah menyerang Samy Vellu (kiri), dan mereka malah menyiarkan di muka depannya gambar seseorang memukul gambar seorang pemimpin dengan selipar," katanya.
"Adakah itu perlu? Samy Vellu telah bersetuju berundur September tahun depan, maka tidaklah wajar untuk memalukan seorang pemimpin masyarakat, "katanya sambil menegaskan bahawa beliau tidak membela bos MIC secara peribadi.
Beliau enggan mengulas lanjut mengenai dakwaan KP Samy dan mengulangi bahawa beliau hanya akan menjawab kepada KDN.
