Pembentukan Ekuiti Nasional Bhd (Ekuinas) yang diberi peruntukan RM5 bilion bukan bertujuan untuk merampas pemilikan saham yang dimilki oleh kaum lain, sebagaimana yang dibimbangi sesetengah pihak.
Timbalan Menteri Kewangan, Senator Datuk Awang Adek Hussein, berkata Ekuinas diwujudkan oleh kerajaan bagi membantu bumiputera memilki saham terpilih serta menyelamatkan ekuiti BumiputEra daripada jatuh ke tangan orang lain.
"Misalnya, jika terdapat kaum bumiputera yang ingin menjual sahamnya disebabkan ingin bersara daripada perniagaan, kerajaan boleh menimbangkan bantuan itu," katanya kepada pemberita pada majlis berbuka puasa di Kampung Sungai, Perupuk di Bachok, malam semalam.
Selain itu, katanya, keutamaan juga akan diberikan kepada bumiputera yang ingin memiliki saham terbitan dalam syarikat-syarikat yang berkaitan dengan kerajaan (GLC).
"Langkah itu bukan bertujuan untuk merampas pemilikan saham yang dimiliki kaum lain, sebagaimana yang dibimbangkan sesetengah pihak," katanya.
Awang berkata, ia juga selaras dengan arahan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, yang mahu menambahkan pemilikan saham di kalangan bumiputera supaya mereka tidak jauh ketinggalan berbanding dengan kaum lain.
Mengenai terbitan dinar emas dan dirham perak yang ditaja kerajaan negeri Kelantan, beliau berkata rakyat negeri itu tidak akan memperolehi faedah sebaliknya syarikat yang menerbitnya yang akan mendapat keuntungan.
Beliau yang juga timbalan pengerusi badan perhubungan Umno Kelantan berkata, rakyat Kelantan jangan keliru dengan terbitan itu kerana ia tiada bezanya dengan membeli perkakas emas di kedai-kedai.
"Pada pendapat saya, bagi mereka yang berada, ia lebih baik membeli perkakas emas, yang sekurang-kurangnya boleh dipakai anggota keluarga selain kos menghasilnya lebih murah berbanding dengan dinar emas," katanya.
- Bernama
