Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Masalah teknikal punca gangguan elektrik Sabah
Diterbitkan:  Sep 9, 2010 4:39 PM
Dikemaskini: 8:42 AM

Sabah Gas Terminal (SGT), milik Petronas, di Gayang, Sepanggar, menghentikan bekalan gas ke tiga buah stesen janakuasa bebas (IPP) selepas mengalami masalah teknikal pada jam 7.25 petang semalam.

Tiga IPP berkenaan ialah Ranhill Powerton I, yang mempunyai kapasiti 190 megawatt (MW), Ranhill Powerton II (130MW) dan Sepanggar Bay Power Corporation (SBPC) dengan 100MW.

Menurut kenyataan Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) hari ini, gangguan bekalan elektrik berlaku di seluruh Sabah mulai jam 7.28 malam semalam selepas stesen Ranhill Powerton II dan SBPC terpelantik.

IPP Ranhill Powerton I pula telah ditukar kepada diesel untuk terus beroperasi.

Kejadian itu turut mengakibatkan kapasiti janaan sedia ada mengalami kekurangan janaan sebanyak 230MW dan sistem pertahanan Grid diaktifkan seperti catuan bekalan kecemasan di beberapa kawasan di seluruh negeri bagi memastikan serta mengekalkan kestabilan sistem Grid Sabah.

Kenyataan itu menyebut antara kawasan yang terlibat dengan gangguan itu ialah Kota Kinabalu, Tuaran, Papar, Beaufort, Keningau, Kota Marudu, Kota Belud, Lahad Datu, Sandakan, Tawau dan Wilayah Persekutuan Labuan.

Bagaimanapun, bekalan telah berjaya dipulihkan secara berperingkat bermula pada jam 7.35 petang pada hari yang sama, kata kenyataan itu.

- Bernama

ADS