Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
UEM, KWSP tawar beli PLUS RM23b
Diterbitkan:  Oct 15, 2010 10:20 AM
Dikemaskini: 1:45 PM

UEM Group Bhd dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mengemukakan tawaran untuk mengambil alih semua aset dan liabiliti PLUS Expressways Bhd pada harga RM23 bilion atau RM4.60 sesaham.

    

azlan Perantara pelaburan bersama akan ditubuhkan bagi tujuan ini dengan UEM Group memiliki 51 peratus manakala 49 peratus selebihnya oleh KWSP.

    

"Tawaran ini tertakluk kepada kejayaan penstrukturan semula Perjanjian Konsesi dengan syarat yang diterima semua pihak," demikian menurut UEM dan KWSP dalam kenyataan bersama hari ini.

    

"PLUS, yang merupakan pengendali lebuh raya kelima terbesar di dunia, merupakan aset negara utama.

    

"Pengurusan dan pembangunan lebuh raya kekal satu daripada bidang tumpuan teras UEM Group dan kami akan terus memanfaatkan rekod prestasi baik PLUS bagi rancangan pertumbuhan antarabangsanya," kata Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif UEM Group Datuk Izzadin Idris dalam satu kenyataan hari ini.

"Sekiranya berjaya, hasrat kami ialah untuk PLUS terus dikendalikan oleh kumpulan yang sama yang bertanggungjawab menjadikan PLUS pengendali lebuh raya bertol yang dihormati," katanya.

    

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pelaburan) KWSP Shahril Redza Ridzuan berkata: "KWSP berpendapat cadangan pemerolehan bersama perniagaan PLUS ini sebagai satu peluang untuk memperoleh aset yang menjana aliran tunai, matang dengan profil risiko-pulangan yang menarik, yang akan menyediakan pulangan stabil bagi simpanan persaraan pencarum kami.

    

"Kami percaya pemilikan oleh KWSP dan UEM akan membolehkan PLUS terus meningkatkan prestasi kewangannya," kata beliau.

    

Saham PLUS di Bursa Malaysia digantung sejak semalam. Dagangan terakhir pada RM4.46.

    

Cadangan pengambilalihan perniagaan PLUS termasuk 100 peratus kawalan terhadap anak syarikatnya yang terdiri daripada Projek Lebuhraya Utara-Selatan Bhd, Expressway Lingkaran Tengah Sdn Bhd, Linkedua (Malaysia) Bhd dan Konsortium Lebuhraya Butterworth-Kulim (KLBK) Sdn Bhd.

Hari ini kerajaan mengumumkan yang kadar tol bagi empat lebuh raya milik  PLUS tidak akan dinaikkan dalam masa lima tahun akan datang, berkuat kuasa serta merta.

    

- Bernama

 

 

ADS