Jabatan Agama Islam Selangor dengan kerjasama polis dan bomba hari ini berjaya mematahkan percubaan penduduk di sekitar Seksyen 4, Bandar Baru Bangi, dari mengerjakan solat Jumaat di bekas surau Jubli Perak.
Kira-kira 40 orang anggota penguatkuasa Jais, yang diketuai oleh Penolong Pengarah Bahagian Penguatkuasanya, Mohd Shahzihan Ahmad, telah berkumpul di tapak surau berkenaan sejak 11 pagi bagi menghalang usaha-usaha untuk menunaikan solat Jumaat.
Tindakan mereka itu menimbul kemarahan di kalangan kariah surau tersebut kerana anggota-anggota penguatkuasa berkenaan turut memakai kasut ketika memasuki ruang solat. (
gambar
)
"Kami baru sahaja membersihkan lantai tersebut sebelum mereka sampai kerana menjaga kebersihan dan kesucian itu merupakan tuntutan agama Islam, apatah lagi di tempat ibadat," kata pengerusi surau Jubli Perak, Samion Musiron kepada malaysiakini .
"Walaupun anggota-anggota Jais mendakwa mereka datang atas alasan 'menjalankan tugas', mereka sepatutnya tetap menunjukkan rasa hormat ke atas tempat ibadat dengan membuka kasut ketika memasukinya," katanya lagi.
"Anggota-angggota Jais tentunya lebih arif mengenai perkara ini kerana mereka adalah pihak berkuasa agama Islam negeri yang kesemuanya beragama Islam," tambahnya lagi.
