Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Semua sekolah di Kelantan dibuka semula
Diterbitkan:  Nov 6, 2010 1:16 PM
Dikemaskini: 5:17 AM

Semua 13 buah sekolah di jajahan Pasir Mas dan Tumpat yang ditutup akibat banjir sejak tiga hari lepas akan dibuka semula esok, berikutan banjir di Kelantan pulih sepenuhnya sejak semalam.

Pengarah Jabatan Pelajaran Negeri Kelantan Hussein Awang memberitahu Bernama hari ini semua guru besar sekolah terbabit telah dimaklumkan mengenai perkara itu.

Dalam kejadian banjir tiga hari lepas, 13 sekolah kebangsaan di sekitar Rantau Panjang dan Tumpat melibatkan lebih 7,000 murid, yang terletak di kawasan pinggir Sungai Golok ditutup kerana kawasan sekolah terbabit ditenggelami air sedalam 0.5 hingga tiga meter.

Sekolah-sekolah terbabit ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Sri Rantau Panjang (I); SK Sri Rantau Panjang (II); SK Rantau Panjang; SK Lubok Setol; SK Kok Pauh, SK Rahmat; SK Gual Sitok, SK Gual Tok Deh; SMK Rantau Panjang; SRJKC Khay Boon; SK Bakong, SK Chenderong Batu dan SK Bendang Pak Yong.

Hussein berkata kerja-kerja pembersihan kawasan dan bangunan sekolah sedang dilakukan oleh pihak sekolah dan petugas agensi penyelamat.

Sementara itu, Ketua Unit Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) Rantau Panjang Yusnizam Jusoh berkata pihaknya akan menjalankan operasi pembersihan sekolah yang ditenggelami banjir.

Katanya langkah itu amalan biasa pasukannya yang ditugaskan bukan sahaja menolong kerja-kerja menyelamat semasa banjir tetapi juga selepas bencana itu.

--Bernama

ADS