Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
UEM, KWSP dapat lampu hijau ambil alih PLUS
Diterbitkan:  Nov 10, 2010 9:35 AM
Dikemaskini: 3:27 AM

UEM Group Bhd dan lembaga Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mendapat kebenaran daripada PLUS Expressways Bhd bagi tawaran bersamanya berjumlah RM23 bilion untuk memperoleh semua aset dan  liabiliti pengendali lebuh raya tol terbesar Asia Tenggara.

Dalam kenyataan bersama, UEM dan KWSP berkata tawaran berkenaan akan dibentangkan pada mesyuarat agung luar biasa PLUS bulan depan.

"Pemerolehan semua aset dan liabiliti PLUS akan dilaksanakan oleh perantara pelaburan tujuan khas, yang 51 peratus milik UEM dan 49 peratus dipegang oleh KWSP," kata kenyataan itu.

Pengarah Urusan/Ketua Pegawai Eksekutif UEM Group, Datuk Izzaddin Idris, berkata kumpulan akan terus mengekalkan standard penyenggaraan dan perkhidmatan pengendali lebuh raya itu untuk keselamatan pengguna lebuh raya.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pelaburan) KWSP, Shahril Ridza Ridzuan, berkata prospek PLUS yang baik akan menyediakan aliran tunai jangka panjang.

Terdahulu, KWSP berkata pemerolehan bersama PLUS itu akan menyediakan peluang untuk memiliki aset matang yang menjana aliran tunai yang memberikan pulangan stabil bagi 12 juta simpanan pencarumnya.

Pada 15 Oktober lalu, UEM Group dan KWSP membuat tawaran bersama untuk memiliki semua perniagaan termasuk aset dan liabiliti PLUS.

Cadangan pemerolehan berkenaan akan melibatkan pembayaran tunai sebanyak RM11 bilion kepada pemegang saham minoriti dan RM12 bilion jumlah yang dihutang kepada Khazanah, UEM dan KWSP.

Kos keseluruhan pemerolehan adalah berdasarkan kepada RM4.60 sesaham, yang akan dibuat secara tunai.

Cadangan pemerolehan itu dijangka selesai dalam masa lapan hingga 12 bulan selepas penerimaan lembaga pengarah PLUS.

- Bernama

ADS