Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Chin Peng gagal hidupkan semula saman
Diterbitkan:  Dec 6, 2010 7:26 PM
Dikemaskini: 11:27 AM

Bekas setiausaha agung Parti Komunis Malaya (PKM) Chin Peng dan anggota parti itu hari ini gagal dalam permohonan untuk menghidupkan semula saman sivil terhadap kerajaan Malaysia.

    

Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Alauddin Mohd Sheriff yang mengetuai kuorum tiga hakim Mahkamah Persekutuan mengenepikan penangguhan bagi membenarkan mereka merayu kepada mahkamah paling tinggi itu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang

menolak saman mereka.

Alauddin berkata mahkamah sebulat suara memutuskan bahawa perkara yang dibangkitkan oleh pemohon (Chin Peng) untuk diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan tidak menepati keperluan di bawah Seksyen 96 Akta Mahkamah Kehakiman 1964 (CJA) untuk membolehkan mahkamah membenarkan permohonan itu.

Seksyen 96 menetapkan bahawa penangguhan akan dibenarkan sekiranya isu yang perlu diputuskan Mahkamah Persekutuan itu membabitkan perkara baru dan memiliki aspek kepentingan awam.

    

Kuorum mengenepikan permohonan oleh Chin Peng dan mengarahkan beliau serta anggota PKM untuk membayar kos guaman RM10,000.

    

Dua hakim lain ialah Datuk Hashim Yusoff dan Datuk Heliliah Yusof.

Chin Peng atau nama sebenarnya, Ong Boon Hua dari Sitiawan menfailkan saman bagi pihak dirinya dan anggota PKM menuntut gantirugi di samping menuntut kerajaan Malaysia atau ejennya supaya berhenti daripada membuat kenyataan berbaur fitnah mengenai mereka.

    

Saman itu dikemukakan berikutan laporan media pada 21 Mac dan 6 Mei, 2005, mengenai pengumuman Timbalan Menteri Penerangan ketika itu, Datuk Zainuddin Maidin bahawa RTM akan menyiarkan dokumentari mengenai kekejaman penganas komunis selepas Perang Dunia Kedua dan selama sedekad selepas kemerdekaan Malaysia.

    

Mereka juga menuntut perisytiharan bahawa perjanjian bertarikh 1989 yang ditandatangani di Haadyai, Thailand, antara pemimpin-pemimpin PKM dan pegawai pegawai kanan kerajaan yang mewakili adalah sah, dan di bawah perjanjian itu sebarang kenyataan akhbar yang dikeluarkan oleh kedua-dua pihak tidak harus mengandungi perkataan berbaur fitnah.

    

Mereka mendakwa kerajaan Malaysia melanggar terma dan semangat perjanjian itu.

    

Pada 30 September tahun lepas Mahkamah Tinggi mengenepikan saman itu, dan pada 27 Julai lepas Mahkamah Rayuan menolak rayuan Chin Peng dan menetapkan bahawa kerajaan Malaysia tidak melanggar perjanjian yang ditandatanganinya dengan Chin Peng pada 1989.

    

Dalam pembelaannya kerajaan berkata berdasarkan sejarah dan pengetahuan umum, reputasi Chin Peng dan lain-lain anggota PKM sudah tercemar di mata masyarakat sejak sekian lama.

- Bernama

ADS