Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Pak Lah: M'sia perlu parti kukuh untuk transformasi
Diterbitkan:  Dec 8, 2010 7:12 PM
Dikemaskini: 11:17 AM

Kemajuan negara akan lebih terjamin jika dasar kerajaan untuk mentransformasi negara didokong oleh sebuah parti politik yang kukuh, kata bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Beliau berkata, kejayaan Konvensyen BN Ahad lalu akan menjadi sia-sia jika apa yang telah dicapai tidak dijadikan panduan dan pegangan oleh semua parti komponen.

abdullah ahmad badawi 020209 02 "Saya lihat konvensyen ini telah membawa banyak kejayaan, kita harap ia akan jadi pegangan oleh semua parti dalam BN supaya ia bukan sahaja dapat mengukuhkan perpaduan tetapi juga mengukuhkan prinsip kerjasama untuk membangunkan rakyat dan negara agar terus maju di tahun-tahun yang akan datang," katanya pada sidang media selepas merasmikan seminar

"Peranan Agama dalam menangani masalah sosial" di Kuala Lumpur hari ini.

Seminar dua hari itu yang bermula hari ini, dihadiri 220 peserta dari seluruh negara dan akan menjadi platform untuk pakar rujuk dari semua agama berbincang dan menyelesaikan masalah sosial masa kini.

Abdullah berkata, apa yang penting dalam menjayakan dasar transformasi negara dan Model Baru Ekonomi yang diperkenalkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, ialah keyakinan rakyat terhadap wujudnya sebuah parti yang kukuh.

NONE "Tanpa kekuatan parti politik, tanpa komitmen daripada mereka terhadap apa yang kerajaan akan buat dan tanpa jaminan perpaduan di kalangan mereka sendiri, kita tidak mampu untuk mencapainya.

"Kerana untuk mencapai kejayaan dasar transformasi negara dan Model Baru Ekonomi memerlukan sokongan daripada parti dan pada masa yang sama sokongan padu daripada rakyat," katanya.

Abdullah juga berharap rakyat tidak akan menyokong sesebuah parti yang kucar-kacir dan tidak bersatu padu bagi memastikan masa depan negara tidak tergadai.

Beliau berkata, rakyat hanya mahukan sebuah kerajaan dan parti yang dapat mengotakan janji dan melaksanakan perubahan yang baik untuk negara.

NONE "BN mesti memenuhi apa yang telah dijadikan sebagai pendekatannya iaitu mendahulukan rakyat dan mengutamakan pencapaian...tetapi kalau ini kita tak buat, tapi cakap benda lain tentulah rakyat tak sukakan," katanya.

Terdahulu, Abdullah berkata perpaduan negara boleh tercapai jika semua rakyat menghayati agama masing-masing.

"Agama adalah untuk kebaikan, dan ia juga mengajar semua penganutnya agar tidak menganggu agama lain," katanya.

Selain itu, beliau berharap semua pihak menghayati Rukun Negara terutama prinsip pertama iaitu Kepercayaan Kepada Tuhan, yang bertujuan memberi keharmonian kepada negara.

"Rukun negara lahir dari cambahan idea ramai pemimpin seluruh negara, dan ia mengambil masa yang lama untuk disiapkan, jadi sudah tentu lima prinsip di dalamnya (Rukun Negara) sudah diambil kira untuk perpaduan semua kaum," katanya.

- Bernama

ADS