Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Isa Samad pengerusi Felda baru?
Diterbitkan:  Dec 27, 2010 12:20 PM
Dikemaskini: 4:24 AM

Bekas menteri besar Negeri Sembilan, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad yang pernah dipalitkan dengan politik wang enggan mengulas mengenai laporan sebuah akhbar berbahasa Melayu hari ini bahawa beliau akan dilantik sebagai pengerusi Felda yang baru.

NONE Ketika dihubungi Bernama hari ini, katanya setakat ini beliau belum menerima apa-apa makluman mengenainya dan hanya mengetahuinya menerusi laporan akhbar berkenaan.

Menurut laporan Utusan Malaysia hari ini yang memetik sumber, Mohd Isa bakal mengambil alih jawatan berkenaan daripada Tan Sri Mohd Yusof Noor yang akan tamat kontrak pada 31 Disember ini.

Laporan itu menyebut pengumuman mengenai pelantikan rasmi Mohd Isa akan dibuat dalam tempoh terdekat ini.

Mohd Isa, 61, menjadi Menteri Besar Negeri Sembilan selama 22 tahun dari April 1982 hingga Mac 2004.

Beliau juga merupakan bekas Menteri Wilayah Persekutuan dan bekas Naib Presiden Umno sebelum digantung kerana terbabit dengan politik wang.

Mohd Isa kini ADUN Bagan Pinang setelah memenangi pilihan raya kecil kawasan itu pada 11 Oktober 2009.

ADS