Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Terminal baru Bdr Tasik Selatan dibuka
Diterbitkan:  Dec 31, 2010 6:07 PM
Dikemaskini: 10:20 AM

Hentian Puduraya yang sedang ditutup bagi kerja-kerja menaik taraf sejak April lepas akan dibuka dan dirasmikan secara serentak dengan Terminal Bersepadu Selatan-Bandar Tasik Selatan (TBS-BTS) pada Februari ini.

Pengerusi UDA Holdings Berhad, Datuk Nur Jazlan Tan Sri Mohamed berkata perasmian serentak kedua-dua hab pengangkutan awam itu adalah berdasarkan arahan Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar.

"UDA baru terima arahan dari kementerian untuk mengadakan majlis perasmian Hentian Puduraya serentak dengan Terminal Bersepadu Selatan," katanya kepada pemberita di Johor Bahru hari ini.

Beliau juga berkata terminal perkhidmatan bas ekspres ke utara diyakini akan terus beroperasi di Hentian Puduraya yang terletak di tengah-tengah bandar raya Kuala Lumpur walaupun operasinya dibenarkan dijalankan sama ada di Puduraya atau pun di TBS-BTS.

"Bas dari selatan semuanya sudah diarahkan oleh Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan untuk beroperasi di TBS-BTS tetapi bas dari utara diberi pilihan sama ada beroperasi di Puduraya atau TBS-BTS.

"Tetapi nampaknya pengusaha bas ke utara lebih gemar berhenti di Puduraya sebab ia merupakan perhentian utama di tengah pusat bandar Kuala Lumpur dan Insya-Allah bas ke utara akan terus berhenti di Puduraya," kata Nur Jazlan.

Sementara itu, TBS-BTS, mercu baru pemodenan sistem pengangkutan awam negara mula dibuka untuk kunjungan orang ramai hari ini.

Tinjauan Bernama hari ini mendapati beberapa buah kedai runcit dan medan selera yang terletak di tingkat empat sudah mula dibuka dan kelihatan beberapa pengunjung sedang menjamu selera.

Suri rumah, Elijah Ismail, 45, dari Sentul berkata beliau datang ke terminal berkenaan untuk membeli tiket untuk pulang ke kampung halamannya di Johor namun hampa apabila kaunter tiket belum lagi dibuka untuk jualan.

"Harap-harap ia (kaunter tiket) dapat dibuka secepat mungkin," katanya yang turut ditemani suami, Ariffin Ismail, 47 dan anak perempuan, Rabiatul, 15.

Beliau turut memuji pelbagai kemudahan yang disediakan di terminal berkenaan yang diuruskan oleh MAJU Terminal Management and Services (MAJU TMAS).

Pekerja di kawasan tempat letak kereta di terminal berkenaan, Termizi Mat Amir, 44, turut melahirkan rasa bangga dengan pembinaan terminal berkenaan.

"Baguslah untuk kesenangan pengguna dan baiklah kerana dapat memberi peluang pekerjaan di kalangan penduduk sekitar," katanya.

Sementara itu, rata-rata peniaga yang ditemui berpuas hati dengan kemudahan serta kadar sewa namun meminta pihak pengurusan dapat mempromosikan tempat berkenaan.

Ana Hickson, 61, yang menjalankan perniagaan runcit sejak beberapa hari lepas berkata, beliau berpuas hati dengan perniagaannya setakat ini.

"Kalau bas dan teksi masuk dengan lebih kerap lagi, selain promosi yang hebat, saya yakin lebih banyak pengguna yang akan datang singgah untuk membeli barangan," katanya.

Asif Baig, 32, yang mengendalikan kedai makanan turut berkongsi pandangan yang sama.

Beliau turut menyatakan kagum terhadap fasiliti yang terdapat di terminal berkenaan yang dianggap setanding dengan terminal lapangan terbang antarabangsa negara lain.

Sementara itu, Pengurus Komunikasi Korporat Maju Holdings, Badrul Izha berkata, terminal berkenaan telah dibuka kepada orang ramai tetapi kaunter tiket hanya akan dibuka mulai esok.

"Penjualan tiket juga bergantung kepada operator bas. Lagi cepat mereka masuk, maka lagi cepat kaunter tiket akan dibuka," katanya ketika dihubungi.

Badrul berkata, terminal itu mampu menampung 1,000 perjalanan bas sehari.

Dibina di kawasan seluas 19.6 hektar, terminal berharga RM570 juta itu setinggi enam tingkat dan mempunyai 55 platform bas, 150 tempat letak teksi, 1,000 buah tempat letak kereta dengan kawasan tempat menunggu berhawa dingin.

TBS-BTS dihubungkan dengan rangkaian pengangkutan seperti Keretapi Tanah Melayu (KTM) Komuter, Express Rail Link (ERL) Transit dan Sistem Transit Aliran Ringan (LRT).

Pembinaan terminal itu merupakan usaha kerajaan ke arah meningkatkan pengggunaan pengangkutan awam di Lembah Klang selaras dengan sasaran Kementerian Pengangkutan meningkatkannya daripada 16 peratus pada masa ini kepada 25 peratus pada 2012.

- Bernama

ADS