Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Zambry: Isu setinggan tanah KTMB selesai
Diterbitkan:  Jan 5, 2011 6:29 PM
Dikemaskini: 10:31 AM

Kerajaan negeri Perak telah mengarahkan Pejabat Tanah dan Daerah (PTD) Larut, Matang dan Selama (LMS) untuk mengenalpasti penduduk yang tinggal di kawasan tanah rizab kereta api antara Taiping dan Kuala Sepetang bagi diberi hak milik.

Menteri Besar, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir, berkata tanah milik Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) itu telah diberikan kepada kerajaan negeri oleh Kerajaan Persekutuan.

KTMB sebelum ini telah menyerahkan tanah rizab berkenaan kepada Kerajaan Persekutuan. Tanah berkenaan membabitkan bekas landasan kereta api pertama negara antara Taiping dan Port Weld (Kuala Sepetang).

"Saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih kepada Kementerian Pengangkutan dan KTMB yang telah menyerahkan tanah ini kepada Kerajaan Pusat yang kemudiannya memberikan pemilikan kepada kami.

"Tidak ada sebarang bentuk pemberian wang atau jumlah sebanyak RM37 juta kepada mana-mana pihak dalam urusan pengambil-alihan tanah ini," katanya kepada pemberita pada sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco di pejabatnya hari ini.

Pada 27 Januari 2010, Jemaah Menteri yang bermesyuarat telah melepaskan tanah rizab itu kepada kerajaan Perak kerana ia tidak lagi digunakan untuk tujuan operasi kereta api sejak 1941.

Tanah berkeluasan 94.5 hektar itu didiami 643 keluarga setinggan dan sebanyak 786 bangunan serta 12 tempat ibadat telah didirikan.

Tanah rizab berkenaan menjadi isu apabila Kementerian Pengangkutan menawarkan tanah itu dengan harga RM37 juta kepada kerajaan negeri Perak dan ia tidak dipersetujui oleh kerajaan negeri.

Zambry berkata, dengan perkembangan baru itu, kerajaan negeri akan memastikan usaha pemberian hak milik tanah berkenaan dapat diselesaikan tahun ini.

"Kalau boleh saya mahu ia diselesaikan dalam waktu terdekat dan saya tidak mahu berlaku kesilapan dalam soal pemberian tanah ini...saya mahu ia diberikan kepada penduduk yang layak mendapatnya," katanya.

Beliau berkata, PTD LMS diarah memperhalusi penghuni sebenar yang telah tinggal sejak berpuluh tahun di kawasan berkenaan bagi proses pemberian geran hak milik.

- Bernama

ADS