Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
KDN: Kenyataan Shuhaimi 'lebih berbentuk hasutan'
Diterbitkan:  Jan 5, 2011 11:30 PM
Dikemaskini: 5:21 PM

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein hari ini mengesahkan terdapat penularan fahaman militan di universiti tempatan, berdasarkan laporan agensi perisikan dalam dan luar negara.

Bagaimanapun katanya, keadaan itu masih terkawal dan tidak menjejaskan keselamatan negara.

"Keadaan itu tidak membawa ancaman segera tetapi kita tak boleh  leka.

"...sekiranya ia  menimbulkan kebimbangan kepada militancy atau keganasan maka tindakan akan kita ambil tanpa was-was," katanya  kepada pemberita selepas pertemuan dengan Ketua Pengarah International Organisation for Migration (IOM) William Lacy Swing di pejabatnya di Putrajaya.

Hishammuddin diminta mengulas laporan sebuah media asing sebelum ini, yang antara lain menyebut ada universiti di  negara ini menjadi pusat rekrut utama untuk menarik anak-anak muda menyertai kumpulan militan Islam berikutan  polisi kemasukan yang longgar.

Hishammuddin bagaimanapun menolak tanggapan bahawa universiti dijadikan tempat merekrut, sebaliknya lebih kepada penularan fahaman yang tidak terhad kepada militan Islam, tetapi juga ideologi lain seperti Liberation Tigers of Tamil Eelam (LTTE) dan Sikh Militants.

Hishammuddin berkata pihaknya bekerjasama dan berkongsi kepakaran dengan agensi antarabangsa yang lain  termasuk Federal Bureau of Investigation (FBI), United Kingdom Intelligence, Australia Intelligence dan Saudi Intelligence bagi menangani perkara itu.

Sistem Biometrik yang akan diperkenalkan tidak lama lagi juga dijangka turut membantu menyelesaikan masalah tersebut, katanya.

Mengenai desakan agar ADUN Sri Muda, Shuhaimi Shafiei dikenakan tindakan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) di atas dakwaan menghina Sultan Selangor, Hishammuddin berkata kes itu lebih berbentuk hasutan.

"Kita hanya menggunakan ISA kalau tindakan menjejaskan keselamatan negara. Perkara-perkara yang  berhubung kait dengan hasutan ia jatuh kepada Peguam Negara untuk menentukan sama ada tindakan itu merupakan hasutan atau tidak," katanya.

Mengenai kunjungan Swing, Hishammuddin berkata Malaysia meminta bantuan IOM untuk meneliti undang-undang berkaitan anti pemerdagangan orang, selain dipelawa sebagai rakan kongsi dalam usaha menubuhkan sebuah akademi di Langkawi yang berperanan menangani jenayah merentasi sempadan termasuk penggubahan wang haram dan pengedaran dadah.

- Bernama

ADS