Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mempersoalkan motif kerajaan negeri Selangor mengadakan sidang Dewan Undangan Negeri hari ini untuk meminda Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Selangor 1959.
"Apakah usul yang dibuat oleh Menteri Besar Selangor (Tan Sri Khalid Ibrahim) itu perlu? Adakah benar usul itu untuk memperkukuh kuasa Sultan atau ada tujuan peribadi dan kuasa Menteri Besar?
"Apakah muslihat di sebalik itu (sidang khas itu). Itu yang lebih utama," katanya kepada pemberita di Labis hari ini.
Muhyiddin berkata apa yang perlu dipersoalkan ialah mengenai kewajaran dan rasional sidang khas itu diadakan.
Pindaan itu adalah bagi mengembalikan kuasa Sultan dan Menteri Besar dalam pelantikan Setiausaha Kerajaan Negeri, Pegawai Kewangan dan Penasihat Undang-Undang negeri yang kini di bawah kuasa Suruhanjaya Perkhidmatan yang berkaitan, iaitu Suruhanjaya Perkhidmatan Awam.
Tindakan itu diambil berikutan pelantikan Datuk Mohd Khusrin Munawi sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Awam yang dibantah oleh kerajaan negeri dengan alasan ia tidak dirujuk kepada Menteri Besar.
- Bernama
