Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Polis nafi dakwaan turun bendera parti politik
Diterbitkan:  Jan 25, 2011 8:46 PM
Dikemaskini: 1:35 PM

Ketua Polis Johor Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff hari ini menafikan dakwaan segelintir pihak bahawa anggotanya telah menurunkan bendera parti politik yang bertanding dalam pilihan raya kecil DUN Tenang.

    

NONE Beliau berkata pihaknya hanya bertanggungjawab memastikan proses kempen pilihan raya kecil itu berjalan dengan aman sehingga Ahad ini.

    

"Kami di sini untuk menguatkuasakan undang-undang. Jangan begitu cepat menuding jari kepada polis. Kita di sini untuk menentukan proses demokrasi berjalan dengan lancar, dan untuk menentukan pengundi boleh keluar mengundi tanpa rasa takut diugut atau diperdaya mana-mana pihak yang berkepentingan.

"Tolong... jangan sebarkan khabar angin sebegini kerana ia langsung tidak berasas dan mencemar nama baik polis. Bukan kerja polis nak turunkan bendera," katanya dalam satu  sidang media di Markas Taktikal (Martek) Polis Diraja Malaysia di Labis.

Mengenai perjalanan kempen pilihan raya kecil itu, Mohd Mokhtar berkata setakat ini 122 orang disiasat berhubung beberapa laporan yang diterima, dan 58 daripada mereka telah ditahan polis bagi membantu siasatan.

    

NONE Beliau berkata kebanyakan laporan berkaitan aktiviti menurun dan membakar bendera parti politik, serta kumpulan 'mat rempit' yang mengganggu ceramah.

"Dalam tempoh 24 jam lepas, kita telah melancarkan operasi pencegahan jenayah bagi memastikan tidak ada orang yang datang ke sini pada waktu malam untuk membuat kacau-bilau seperti menarik dan mengoyak bendera, bergaduh serta terlibat dalam aktiviti rempit.

    

"Daripada 58 yang ditahan, didapati seorang daripada mereka mempunyai rekod jenayah lampau melibatkan kes curi, manakala yang lain dilepaskan dalam tempoh beberapa jam selepas diambil maklumat," katanya.

    

pakatan banner Mohd Mokhtar berkata sepasukan pegawai risikan khas Ibu Pejabat Polis Bukit Aman dikerahkan ke Labis bagi menjalankan operasi risikan serta mengenal pasti dalang-dalang yang dikesan cuba melakukan provokasi dan kacau-bilau sepanjang kempen pilihan raya kecil ini.

    

Beliau berkata orang awam yang ingin mendapatkan maklumat lanjut atau mempunyai maklumat mengenai sebarang salah laku diminta menghubungi Martek di talian 07-9255 158.

    

Pilihan raya kecil DUN Tenang, yang menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara calon Barisan Nasional (BN) Mohd Azahar Ibrahim dan calon PAS Normala Sudirman pada Ahad ini, diadakan berikutan kematian penyandangnya Datuk Sulaiman Taha, 59, daripada BN 17 Dis lepas.

    

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS