Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
PAS tanding di Sarawak, mahu lebih kerusi
Diterbitkan:  Feb 16, 2011 3:48 PM
Dikemaskini: 7:53 AM

PAS mahu bertanding lebih banyak kerusi pada pilihan raya Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak yang bakal diadakan tidak lama lagi.

Naib Presidennya, Datuk Mahfuz Omar, berkata sekiranya hasrat itu tidak tercapai, sekurang-kurangnya PAS akan mengekalkan untuk bertanding satu kerusi di DUN Beting Maro sama seperti pilihan raya negeri sebelum ini pada 2006.

NONE "PAS bertanding (2006), sekarang dalam proses rundingan dan perbincangan untuk tentukan jumlah kerusi. Kita harap dapat bertanding lebih dari satu (kerusi), paling tidak mempertahankan status quo kerusi yang kita tandingi,” katanya kepada pemberita di Kuala Lumpur hari ini.

Beliau berkata, Pakatan Rakyat Sarawak masih dalam perbincangan untuk menentukan parti mana yang akan bertanding di setiap kerusi dan sekiranya tidak selesai Pakatan Rakyat pusat akan berbincang dan memutuskannya.

Mahfuz yang juga ahli parlimen Pokok Sena berkata Pakatan Rakyat juga akan berbincang dengan parti pembangkang di Sarawak bagi mengelakkan pertembungan tiga penjuru.

"Kita harap mereka lebih terbuka kerana apa yang lebih penting ialah kemenangan. Kalau ada keperluan kita akan bincang dengan mereka," katanya.

Pada pilihan raya negeri Sarawak 2006, Barisan Nasional (BN) menguasai 63 kerusi dengan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) menang 35 kerusi diikuti Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP) (12), Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Progresif Demokratik Sarawak (SPDP) masing-masing lapan kerusi.

Kerusi Pembangkang pula dimenangi oleh DAP enam, manakala PKR dan Parti Cinta Malaysia (PCM) masing-masing satu kerusi.

Mandat Dewan Undangan Negeri Sarawak tamat Julai ini.

Sementara itu, bagi pilihan raya kecil DUN Merlimau, pakatan pembangkang terutamanya PAS akan membawa isu-isu mengenai integriti kerajaan yang memerintah seperti fenomena yang berlaku di beberapa negara Asia Barat dan Timur Tengah pada masa ini.

Katanya, walaupun mengakui agak sukar untuk menang di kerusi majoriti Melayu berkenaan, apa yang penting ialah menyampaikan maklumat kepada rakyat di kawasan itu supaya dapat membentuk minda untuk kepentingan umum.

"Tak semestinya kita mesti menang untuk menyampaikan maklumat kepada rakyat dan tak semestinya pada pilihan raya sahaja. Kita juga masuk di lain-lain kawasan walaupun tak ada pilihan raya," katanya.

Penamaan calon pilihan raya kecil DUN Merlimau akan diadakan pada 26 Februari manakala hari pengundian pada 6 Mac dan ia diadakan berikutan kematian penyandangnya daripada BN Datuk Mohamad Hidhir Abu Hasan, 54 akibat serangan jantung pada 20 Januari lalu.

- Bernama

ADS