Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PM: Tindakan K'jaan bawa hasil baik
Diterbitkan:  Feb 18, 2011 6:54 PM
Dikemaskini: Dec 6, 2016 12:16 PM

Datuk Seri Najib Tun Razak berkata pencapaian ekonomi Malaysia yang mencatatkan pertumbuhan 7.2 peratus tahun lepas menunjukkan tindakan yang diambil kerajaan untuk mengatasi kemelut ekonomi global yang melanda negara ini, membawa hasil yang begitu menggalakkan sehingga dapat mencapai pemulihan ekonomi yang mampan.

Perdana Menteri berkata ianya bukan pemulihan ekonomi yang sederhana malah pertumbuhan yang kukuh dan mampan dan momentumnya turut dapat dirasai negara pada tahun ini.

"Saya harap kita dapat mencapai sasaran 6.0 peratus untuk tahun ini walau pun cabarannya tentu sekali amat besar sebab bila ekonomi kita terus berkembang, peningkatan selanjutnya akan lebih mencabar dari tahun tahun kebelakangan," katanya kepada pemberita ketika diminta mengulas pengumuman hari ini mengenai kadar pertumbuhan itu.

Ekonomi Malaysia mengatasi jangkaan apabila mencatat pertumbuhan 7.2 peratus tahun lepas berbanding penguncupan 1.7 peratus pada 2009, yang diperkukuh oleh pemulihan dalam sektor pembuatan dan perkhidmatan, selain eksport dan import yang cergas.    

Terdahulu, Najib mengadakan perjumpaan dengan Tuai Rumah Panjang dari Daerah Belaga, Sarawak, di Pusat Dagangan Dunia Putra hari ini.

Namun, Perdana Menteri berkata, usaha akan diteruskan oleh kerajaan untuk mengukuhkan permintaan tempatan terutama melalui peranan sektor swasta dari segi pelaburan dan penggunaan.

"Projek ETP yang sedang dilaksanakan pelbagai peringkat dipercayai dapat merangsangkan pertumbuhan ekonomi sebagaimana diharapkan," katanya.

- Bernama

ADS