Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Nazri: Perluasan Permata Pintar dipertimbangkan
Diterbitkan:  Mar 16, 2011 4:22 PM
Dikemaskini: 8:24 AM

Kerajaan akan mempertimbang usaha untuk memperluaskan Program Pendidikan Menengah Tinggi Permata Pintar ke seluruh institusi pengajian tinggi (IPT) di negara ini, persidangan Dewan Rakyat diberitahu hari ini.

NONE Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz berkata, program itu, yang kini hanya diadakan di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) itu, diharapkan dapat diperluaskan ke seluruh IPT sekiranya kewangan negara mencukupi.

"Memang menjadi hasrat kerajaan untuk memperluaskan Program Pendidikan Menengah Tinggi Permata Pintar ke seluruh IPT, tetapi ia bergantung kepada kewangan negara,” katanya menjawab soalan tambahan Matulidi Jusoh (BN-Dungun).

Matulidi ingin tahu sama ada Sekolah Permata Pintar akan ditubuhkan dan kerajaan akan mempertimbangkan untuk memperluaskan Program Pendidikan Menengah Tinggi Permata Pintar ke seluruh IPT dalam negara.

Nazri berkata, Sekolah Permata Pintar, yang bertujuan menempatkan pelajar yang dikenal pasti sebagai pelajar pintar cerdas melalui Program Pendidikan Menengah Tinggi Permata Pintar UKM, kini sedang dibina.

Menjawab soalan asal Matulidi, beliau berkata, seramai 116 pelajar pintar Tingkatan Empat telah mendaftar dalam Program Pendidikan Menengah Tinggi Permata Pintar UKM.

- Bernama

ADS