Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
PM kemuka usul takziah, simpati kepada Jepun
Diterbitkan:  Mar 17, 2011 1:10 PM
Dikemaskini: 5:21 AM

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak hari ini mengemukakan usul di Dewan Rakyat untuk melahirkan rasa takziah dan simpati yang sangat mendalam kepada kerajaan Jepun dan semua mangsa tragedi bencana gempa bumi dan tsunami yang menimpa negara itu 11 Mac lalu.

NONE Sebelum memulakan ucapan, Najib turut meminta Dewan Rakyat untuk bertafakur selama seminit sebagai mengingati kejadian itu yang telah mengorbankan ribuan nyawa.

Perdana Menteri berkata apa yang berlaku ke atas Jepun dan rakyatnya adalah sesuatu yang amat menyedihkan seluruh rakyat Malaysia dan warga antarabangsa di seluruh pelosok dunia, terutamanya negara-negara Asia.  

Malaysia sebagai salah sebuah negara yang mempunyai hubungan akrab dengan Jepun turut merasakan beban yang terpaksa ditanggung oleh mereka, katanya.

"Namun berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Adalah wajar kiranya Malaysia menawar dan menghulurkan apa jua bentuk bantuan yang termampu oleh negara kita memandangkan Jepun merupakan negara akrab kepada Malaysia," katanya.

NONE "Jadi marilah kita bersama-sama berdoa agar kerajaan dan rakyat Jepun dilindungi daripada bencana gempa bumi dan tsunami serta semoga Jepun dapat membangunkan semula apa yang telah dibinasakan oleh bencana tersebut," kata Najib.

Pada 11 Mac lalu, Jepun telah digemparkan dengan kejadian gempa bumi dan tsunami dengan gegaran 9 pada skala Richter yang diikuti gegaran susulan yang bersilih ganti menyebabkan bukan sahaja ribuan nyawa terkorban tetapi turut memusnahkan harta benda dan meranapkan infrastruktur.

Letupan loji reaktor pertama di Pusat Janakuasa Nuklear Fukushima dan kebocoran bahan radioaktif sehari selepas itu, memburukkan lagi keadaan yang diikuti dengan letupan di loji reaktor kedua pada 15 Mac.

Penghargaan

Perdana Menteri di dalam usulnya itu mencadangkan persidangan Dewan turut merakamkan penghargaan kepada kerajaan dan rakyat Jepun di atas segala bantuan yang diberikan kepada rakyat Malaysia, terutamanya pelajar-pelajar Malaysia yang terjejas oleh mala petaka itu.

Mengikut rekod Kedutaan Besar Malaysia di Tokyo, terdapat 5,009 orang rakyat Malaysia yang berdaftar dengan kedutaan dan daripada jumlah itu seramai 2,466 orang adalah pelajar.

NONE Terdapat seramai 298 orang pelajar Malaysia di kawasan yang terjejas teruk akibat gempa bumi dan tsunami tersebut, tetapi telah dikenal pasti mereka dalam keadaan selamat.

"Pihak Kedutaan Besar Malaysia di Tokyo telah mengambil langkah awal seperti menghantar dua pasukan untuk memantau dan meninjau keadaan rakyat dan para pelajar Malaysia yang telah dipindahkan ke pusat-pusat evakuasi dan hasil tinjauan mendapati kesemua rakyat dan pelajar Malaysia berada dalam keadaan baik dan menerima bekalan makanan dan minuman yang mencukupi.

"Ini jelas membuktikan bahawa pihak berkuasa Jepun turut mengambil berat dan prihatin dengan keselamatan dan keadaan bukan sahaja rakyat Jepun malah juga warga negara asing termasuk Malaysia," katanya.

Najib turut menyeru seluruh rakyat negara ini untuk memberikan sokongan dan bantuan dari segi material, emosi dan moral kepada mangsa-mangsa bencana dan malapetaka itu.

Bantuan kemanusiaan

Malaysia juga merayu masyarakat antarabangsa untuk terus menghulurkan bantuan kemanusiaan kepada rakyat Jepun, katanya.  

NONE Usul yang dibawakan itu disokong oleh Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang menyifatkan usul itu telah memberi gambaran yang sangat jelas tentang pendirian Malaysia yang mempunyai hubungan akrab dengan Jepun.

Muhyiddin di dalam ucapannya turut menyeru rakyat Malaysia supaya bertenang dan tidak mempercayai khidmat pesanan ringkas (SMS) yang kononnya mengatakan Malaysia juga terdedah kepada bahaya kesan kebocoran radiasi akibat letupan loji reaktor nuklear di Jepun.

"Saya pasti pihak kerajaan Jepun sedang berusaha sebaik mungkin untuk menangani insiden letupan tersebut daripada menyebabkan implikasi yang lebih teruk berlaku," katanya.

NONE Beliau menasihatkan rakyat Malaysia agar tidak mempercayai khabar-khabar angin mengenai kejadian yang berlaku di Jepun kerana maklumat sebenar dan terkini boleh diperolehi melalui sumber-sumber rasmi kerajaan Malaysia dan Jepun.

Doakan kesejahteraan

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran turut mengajak semua rakyat Malaysia untuk terus mendoakan kesejahteraan dan keselamatan rakyat dan pelajar Malaysia di Jepun terutamanya di kawasan yang paling teruk dilanda bencana dan malapetaka seperti Miyagi, Fukushima, Ibaraki, Tochigi, Iwate, Saitama dan Chiba.

NONE Katanya walaupun rakyat Malaysia mungkin tidak memahami penderitaan yang dilalui rakyat Jepun akibat malapetaka itu, tetapi beliau yakin dengan bantuan serta sokongan moral dan emosi daripada rakyat Malaysia akan mampu memberikan kekuatan semangat kepada rakyat Jepun untuk meneruskan kehidupan seharian dan membina semula masa depan mereka.

Enam ahli parlimen, iaitu tiga daripada penyokong kerajaan dan tiga anggota pembangkang diperuntukkan sehingga pukul 1 tengah hari ini untuk membahaskan usul berkenaan sebelum Perdana Menteri menggulung pada pukul 2.30 petang nanti.

- Bernama

ADS