Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Salah faham dikenalpasti menjadi penyebab lebih 100 nelayan di sekitar Tanjung Kling, Melaka membantah cadangan sebuah syarikat petroleum menjalankan kerja-kerja ujian di atas tapak pembinaan jeti gas asli cecair (LNG).

Pengurus Besar Bahagian Regasifikasi Gas Cecair Petroleum (LNG) Petronas Gas Bhd, Hudal Firdaus Dimyati berkata, isu berkenaan telah disalah ertikan nelayan sehingga mereka mendakwa kerja-kerja berkenaan akan merosakkan terumbu karang di kawasan terbabit.

Pada masa yang sama, Hudal Firdaus turut mengakui surat yang dikeluarkan syarikat berkenaan juga tidak memberikan gambaran jelas mengenai kerja-kerja yang hendak dijalankan.

"Walaupun surat berkenaan ada menyebut mengenai letupan, sebenarnya ianya hanya satu ledakan kecil kira-kira enam meter di atas permukaan laut.

"Bahagian dalam laut serta ikan tidak akan terjejas dengan kerja-kerja ini kerana ledakan berkenaan akan dijalankan di atas permukaan laut dan di dalam kawasan yang tertutup.

 

"Teknik sebegini telah pernah digunakan di Malaysia, termasuk dalam projek Jambatan Pulau Pinang Kedua serta Jeti Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Sepanggar. Malahan, cara ini turut diterima pakai Jabatan Kerja Raya (JKR)," katanya.

Sesi dialog

Beliau berkata demikian, selepas satu sesi dialog di antara pihak syarikat dan lebih 300 nelayan di Dewan Jawatankuasa Penyelaras Pembangunan Dewan Undangan Negeri (Japerun) Pantai Kundor, Melaka.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Negeri縷Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar, Datuk Md Yunos Husin, Pengerusi Jawatankuasa Negeri Pembangunan Desa & Pertanian, Datuk R. Perumal dan ADUN Pantai Kundor, Datuk Ab Rahaman Ab Karim.

Semasa dialog berkenaan, pakar runding yang dilantik Petronas Gas Bhd untuk menjalankan kajian Impak Alam Sekitar (EIA), Dr Zahedi Fisal, turut memberikan taklimat mengenai keputusan kajian.

Dalam taklimatnya, Dr Zahedi berkata, projek yang hendak dijalankan ini didapati tidak mempunyai sebarang kesan negatif kepada alam sekitar.

Sambil mengakui majlis dialog yang diadakan ini banyak membantu, Hudal Firdaus berkata, beliau berharap ianya akan dapat membantu menyelesaikan apa jua masalah berbangkit dari projek berkenaan.

Menurutnya, pihak Petronas Gas Bhd akan meneruskan sesi komunikasi dengan masyarakat nelayan serta menjalankan beberapa program bersama mereka.

"Selain itu, kita juga akan menjalankan beberapa program di bawah tanggung sosial syarikat (CSR) bersama masyarakat nelayan selepas ini.

Kerja-kerja ujian

"Berikutan kesan positif pertemuan ini, pihak syarikat akan menjalankan kerja-kerja ujian esok (hari ini)," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Penaja Jawatankuasa Bertindak, Mahat Jantan berkata, beliau berpuas hati dengan keputusan yang dicapai semasa sesi dialog ini.

Menurutnya, beliau akan mengadakan pertemuan dengan pihak Petronas Gas Bhd dalam masa terdekat ini bagi membincangkan lebih mendalam mengenai pertimbangan yang akan diberikan kepada nelayan terbabit.

"Saya puas hati dengan pertemuan hari ini dan yakin permasalahan kami nelayan akan selesai. Kami bukan membantah pembangunan tetapi biarlah ianya seiring dengan keperluan dan kebajikan kami," katanya.

ADS