Suruhanjaya Diraja yang menyiasat kematian pembantu politik Teoh Beng Hock telah diberi kebenaran untuk meneruskan siasatan sehingga 25 Jun ini.
Siasatan yang bermula 14 Februari lalu sebelum ini diberikan sehingga 25 April bagi melengkapkan siasatan dan menyerahkan laporannya keda Yang di-Pertuan Agong.
Pengerusi suruhanjaya itu, Tan Sri James Foong (
kiri
), yang membuat pengumuman berkenaan berkata lanjutan masa tersebut adalah untuk membolehkan mereka menyiasat lanjut.
Foong, yang juga hakim Mahkamah Persekutuan berkata, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sudah memaklumkan bahawa Yang di-Pertuan Agong telah memberi perkenan berhubung tarikh baru.
Teoh, yang mengikat tali pertunangan dengan Sor Chei Wei yang sepatutnya mendaftarkan perkahwinan mereka pada 18 Julai 2009, ditemui mati di tingkat lima Plaza Masalam, Seksyen 9 Shah Alam pada 16 Julai.
Kematiannya menimbulkan persoalan kerana beberapa jam sebelum itu beliau dipanggil oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk dirakamkan percakapan sebagai seorang saksi selama lebih 10 jam.
Setakat ini, suruhanjaya yang bersidang di kompleks mahkamah Kuala Lumpur di Jalan Duta, telah menyoal 36 daripada 47 saksi yang disenaraikan.
Najib mengumumkan pertubuhan suruhanjaya berkenaan setelah orang ramai tidak berpuas hati dengan keputusan inkues yang membuat keputusan terbuka berhubung kematian Teoh semasa disoal siasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Shah Alam.
Pada inkues berkenaan, koroner menolak bahawa Teoh membunuh diri ataupun dibunuh.
Suruhanjaya ini ditugaskan bagi menentukan punca kematian Teoh dan sama ada SPRM mengikut peruntukkan undang-undang ketika menyoal Teoh sebagai saksi pada 15 Julai 2009.
[Baca berita penuh]
